Mari berganding bahu capai Inisiatif Sifar Gelandangan - CEO My Qaseh
Firdaus Azil
April 21, 2022 10:30 MYT
April 21, 2022 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama semua pihak - kerajaan, badan bukan kerajaan dan orang awam - adalah penting untuk merealisasikan Inisiatif Sifar Gelandangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif My Qaseh Sdn Bhd Trina Thomas Raj.
Beliau berkata, dalam proses melihat hasrat itu terlaksana, perlu ada usaha untuk memastikan peluang pekerjaan, perumahan dan akses kepada sistem kesihatan untuk golongan berkenaan.
Dengan cara itu, jelas Trina lagi, ia bukan sahaja memberi peluang kedua untuk kehidupan yang lebih bermakna kepada golongan tersebut, tetapi juga membantu kerajaan membasmi gelandangan di negara ini.
“Inisiatif Sifar Gelandangan My Qaseh adalah inisiatif pertama diperkenalkan dengan matlamat utama untuk membasmi gelandangan di Malaysia. Kejayaan inisiatif ini bergantung kepada kerjasama dan sokongan agensi, organisasi pertubuhan bukan kerajaan, serta orang awam.
“Gelandangan adalah masalah yang boleh diselesaikan, jika kita semua berganding bahu dan bekerjasama, ia dapat bawa perubahan besar dan peluang kedua dalam hidup mereka. Dengan ini kita juga boleh wujudkan persekitaran tanpa gelandangan di Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Pada 18 April lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, 400,000 peluang pekerjaan disediakan buat golongan gelandangan di seluruh negara menerusi inisiatif tersebut.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, peluang yang disediakan dengan kerjasama antara My Qaseh dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu melibatkan bengkel latihan reskiling dan upskiling bagi gelandangan, yang ingin mendapatkan pekerjaan baharu.
Tambah Saravanan, pendekatan itu amat penting dalam memastikan golongan terbabit tidak tercicir dalam arus pembangunan negara sekali gus dapat meningkatkan tenaga kerja tempatan.
.
Mengulas lanjut, Trina berkata, My Qaseh mengguna pakai strategi dan pendekatan berbeza untuk mendekati dan berkomunikasi dengan gelandangan, bergantung kepada tempat di mana mereka berada.
“Kami juga akan menyediakan penyelesaian untuk setiap seorang daripada mereka. Pada peringkat awal kami sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi, organisasi latihan atau majikan sendiri bagi pastikan gelandangan terima latihan yang sewajarnya untuk pekerjaan pilihan mereka.
“Kami juga berhasrat sediakan perumahan sementara untuk mereka. Mengenai garis masa untuk pelaksanaan inisiatif ini, ia bergantung sepenuhnya kepada jenis kerjasama dan sokongan yang kami terima dari semua pihak termasuk orang awam,” katanya lagi.
Selain itu, Trina berkata, My Qaseh amat memerlukan sokongan dan bantuan dalam sediakan pakej penjagaan dalam pemeriksaan kesihatan untuk golongan berkenaan.