Marhaban ya Ramadan
Razak Chik
Mei 5, 2019 17:25 MYT
Mei 5, 2019 17:25 MYT
UMAT Islam akan menyambut Ramadan 1440 Hijrah bermula sama ada Isnin atau Selasa.
Sepanjang bulan Ramadan, pelbagai cabaran akan merintang sebagai dugaan menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari.
Pada bulan yang mulia inilah, umat Islam bertekad menjalankan ibadah yang wajib serta berusaha mengumpul pahala menambah amalan sunat.
Setiap tahun juga akan timbul persoalan dan kadang-kadang melibatkan perbalahan apabila bermulanya tarikh 1 Ramadan dan hari pertama berpuasa.
Untuk penentuan tarikh permulaan, rakyat Malaysia hanya perlu menantikan pengumuman melalui pelbagai saluran maklumat sedia ada.
Jika anak bulan Ramadan tidak kelihatan pada hari Ahad, puasa akan jatuh pada hari Selasa, 6 Mei.
Sebagaimana biasa, persoalan yang sering ditimbulkan adalah kelebihan berniat satu bulan berbanding berniat dari hari ke hari.
Seelok-eloknya, pasanglah niat berpuasa satu bulan bermula petang 1 Ramadan yang selalunya dilafaz jemaah selepas solat tarawih pertama dan selewat-lewatnya pada waktu sahur keesokannya.
Agar tidak keciciran puasa akibat lupa berniat, sudah tentu lebih afdal berniat sebulan. Bagi yang terlepas niat sebulan pula, teruskan dengan niat harian seperti biasa. Rujuk artikel di bawah untuk penjelasan:
Selepas menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, tibalah pula cabaran melawan nafsu di meja makan pada waktu berbuka.
Sebagaimana biasa, acara berbuka melalui penganjuran bufet ramadan di hotel dan restoran terkemuka menimbulkan banyak perdebatan.
Harga selalu dipersoalkan di mana terdapat bufet semahal RM220 seorang atau serendah RM48.
Setiap tahun timbul isu pembaziran kerana mustahil hidangan yang disediakan hotel mampu dihabiskan oleh pengunjung.
Pada bulan puasa di sebelah malam masjid dan surau akan dibanjiri jemaah menunaikan solat tarawih diikuti tadarus al-Quran.
Wajar dielak pertelagahan tentang jumlah rakaat sama ada lapan atau 20 kerana yang penting adalah melakukan solat itu, juga menjaga kualiti dan bukan membilang kuantiti.
Terpulanglah kepada setiap jemaah untuk membuat pertimbangan. Bagi mereka yang mampu membuat perkiraan, mungkin ada yang tercabar melihat warga tua lebih kemampuan istiqomah berdiri lama bertarawih berbanding anak muda.
Habis tarawih terhidang pula jamuan moreh, satu tradisi, yang mungkin wajar dikaji.
Dari segi kesihatan, makanan perlu diberi peluang hadam dalam masa sekurang kurangnya empat jam sebelum tidur.
Tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan umat Islam, berat badan tidak turun, malah ada yang meningkat walaupun gigih sebulan berpuasa.
Seeloknya, elak hidangan makanan berat selepas solat tarawih, bangun awal keesokan hari dan makan sahur yang sempurna.
Hidrasi badan perlu dijaga – kerana paling kurang 1.5 liter atau lapan gelas air perlu diminum pada sebelah malam sampai ke sahur.
Sama samalah kita ingat mengingati agar puasa kali ini, yang terbaik yang pernah dijalani.
Sepanjang bulan Ramadan, Astro AWANI akan menyediakan ruang Ihya Ramadan dan Tanwir Ramadan sebagai pengisian kerohanian.
Ihya Ramadan adalah ruangan khas lima minit pada awal pagi memaparkan pelbagai pengisian memperkukuhkan pengetahuan sekitar bulan yang mulia ini.
Peringatan dan pencerahan pula akan dipersembahkan dalam segmen satu mini Tanwir Ramadan yang akan disiar sebelum waktau berbuka.
Bersama sama kita berusaha menjadikan Ramadan in lebih baik dari yang sebelumnya. Amiin.
#bufet ramadan
#cabaran melawan nafsu
#jendela ramadan
#niat harian
#niat puasa
#niat sebulan
#puasa sebulan
#Ramadan
#ramadanawani1440
#solat tarawih