MARDI umum varieti cili baharu, kurang kebergantungan import
Astro Awani
Disember 10, 2024 17:19 MYT
Disember 10, 2024 17:19 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini mengumumkan pengisytiharan varieti cili baharu yang merupakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan pengeluaran cili domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import cili.
Varieti cili baharu yang diberi nama Cili MARDI merupakan hasil daripada program pembaikbakaan yang dijalankan oleh institut tersebut dengan menggunakan teknologi moden dan penyelidikan intensif.
Menurut MARDI dalam kenyataan hari ini, cili itu adalah hasil kacukan antara dua genotip terpilih iaitu Ch 234-14 (MC 11) dan Ch 231-5, yang telah terbukti rintang terhadap penyakit antraknos.
"Keunggulan utama varieti ini adalah ketahanannya terhadap penyakit serta hasil yang tinggi, dengan potensi pengeluaran sekitar 20 hingga 30 metrik tan sehektar dalam tempoh lima hingga enam bulan.
"Cili MARDI dihasilkan dengan matlamat untuk mengatasi cabaran utama dalam pengeluaran cili di Malaysia, termasuk kebergantungan yang tinggi terhadap benih import, terutama dari negara jiran seperti Thailand, China, dan Vietnam.
"Melalui penghasilan benih cili tempatan yang lebih berkualiti dan tahan penyakit, MARDI berharap dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keuntungan bagi para petani," katanya.
Majlis pengisytiharan berlangsung di Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi, Kedah dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.
MARDI menambah dengan pengenalan varieti baharu itu, ia diharap dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti cili domestik, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.
Sementara itu, Isham berkata, varieti cili baharu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memajukan sektor pertanian negara.
Ujar beliau, selain memperkenalkan varieti yang lebih tahan terhadap penyakit, pihaknya juga memberi tumpuan kepada latihan dan sokongan kepada petani bagi memastikan mereka dapat menguasai teknik penanaman yang lebih cekap dan mampan.