MARDI sasar kurangkan import bawang sehingga 30 peratus menjelang 2030

Bernama
Februari 6, 2024 05:30 MYT
Penanaman bawang merah dalam tiga kategori varieti iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 dilaksanakan di beberapa kawasan di Perak serta Kelantan selain diusahakan oleh MARDI sendiri dan petani yang berminat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memerlukan sebanyak 1,447 hektar tanaman bawang merah di seluruh negara bagi mencapai sasaran pengurangan 30 peratus import bahan makanan asas itu menjelang 2030.
Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata bagi tujuan itu, institut berkenaan telah memulakan penanaman tiga jenis bawang secara kecil-kecilan untuk tempoh 2024 hingga 2025 dengan memfokus kepada penghasilan bawang merah.
"Insya-Allah pada 2026, kita akan perluaskan kawasan penanaman bawang merah ini sebagai langkah jangka pendek,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio siaran Bernama Radio di sini semalam.
Beliau berkata penanaman bawang merah dalam tiga kategori varieti iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 dilaksanakan di beberapa kawasan di Perak serta Kelantan selain diusahakan oleh MARDI sendiri dan petani yang berminat.
"Kita menjangkakan untuk memperoleh hasil pertama penanaman bawang merah ini sekitar April atau awal Mei," katanya.
Mengenai perbezaan BAW-1, BAW-2 dan BAW-3, Mohamad Zabawi berkata ia berdasarkan saiz serta tahap kesuburan bawang terbabit malah kualitinya sama seperti produk yang diimport dari negara luar.
-- BERNAMA
#MARDI #bawang merah #import bawang #Mohamad Zabawi Abdul Ghani
;