MARDI perkenal tiga klon kopi Liberica baharu, bantu tingkat hasil petani

Astro Awani
Jun 17, 2023 17:46 MYT
Foong Hin (dua dari kanan) ketika majlis memperkenalkan tiga klon kopi Liberica baharu hari ini - Foto/Ihsan MARDI
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan tiga lagi klon kopi baharu jenis Liberica selepas kali terakhir klon kopi diperkenalkan pada 2008.
Institut itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga klon baharu yang dinamakan sebagai MKL 8, MKL 9 dan MKL 10 amat sesuai disyorkan kepada petani atau pengusaha tanaman kopi untuk meningkatkan hasil, sekali gus menjana pendapatan kumpulan berkenaan.
"Purata hasil kopi jambu bagi set klon kopi baharu ini antara 17 hingga 25 t/ha, iaitu sehingga 60 peratus lebih tinggi daripada hasil klon komersial sedia ada.
"Dengan peratus pertukaran kopi jambu kepada kopi beras sebanyak 10 peratus, klon baharu ini mampu menghasilkan kopi beras antara 1.9 hingga 2.7 t/ha, iaitu 25 peratus lebih tinggi daripada klon komersial.
"Berdasarkan kajian fitokimia, klon kopi Liberica baharu ini juga mempunyai kualiti biji kopi yang lebih baik dan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai produk premium kopi Liberica dengan fungsi kesihatan," kata MARDI pada Sabtu.
Sehingga kini, MARDI berkata pihaknya telah mengisytiharkan sepuluh klon kopi Liberica dan Robusta sejak 1995.
MARDI menambah, pembangunan set ketiga klon kopi Liberica telah dimulakan pada 1982 dengan pemilihan sebanyak 28 aksesi kopi daripada koleksi janaplasma kopi Liberica, dibiak secara klonal serta dinilai dalam peringkat penilaian awal hasil bermula tahun 1997 hingga 2005.
"Seterusnya 14 klon terpilih dimajukan ke peringkat penilaian lanjutan hasil bermula tahun 2015 hingga sekarang.
"Setelah melalui beberapa peringkat penilaian, sebanyak tiga klon kopi dikenal pasti mempunyai prestasi hasil dan kualiti terbaik untuk diperkenalkan.
"Set pertama iaitu MKL 2, MKL 3 dan MKL 4 diisytihar pada 1995, manakala set kedua MKL 5, MKL 6 dan MKL 7 pada 2008," kata institut lagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dalam kenyataan sama berkata, klon kopi Liberica baharu MARDI disifatkan berhasil tinggi dan berkualiti serta dijangka mampu meningkatkan pengeluaran kopi negara.
Dengan keunikan kualiti dan citarasa kopi Liberica Malaysia, beliau berharap semua pihak berganding bahu menjayakan hasrat kerajaan dan pihak berkepentingan dalam meningkatkan ekonomi rakyat dan negara.
Dalam masa sama, Foong Hin turut memuji usaha MARDI melancarkan teknologi pengeluaran bahan tanaman bagi kopi menerusi penggunaan kaedah keratan.
"Kaedah ini boleh mempercepatkan proses pengeluaran bahan tanaman dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan berbanding kaedah konvensional (cantuman baji) yang mengambil masa lebih lama iaitu 15 hingga 16 bulan," tambahnya.
Terdahulu, Foong Hin merasmikan pelancaran tiga klon kopi baharu dan teknologi kaedah keratan, yang turut dihadiri Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
#Tiga klon kopi baharu MARDI #Penanaman kopi Malaysia #Keselamatan makanan #berita Malaysia
;