MARDI pamer teknologi sejak 50 tahun lalu dalam 'Showtech MARDI 2023'
Astro Awani
Ogos 25, 2023 17:09 MYT
Ogos 25, 2023 17:09 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menganjurkan Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Show-tech MARDI 2023) selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Ogos di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata pameran itu yang bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ adalah bertepatan dengan mandat MARDI dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian.
"Teknologi yang mapan amat penting dalam mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.
"Justeru, Show-Tech MARDI 2023 adalah platform untuk mempamerkan dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan Mardi sejak 50 tahun yang lalu kepada masyarakat dan pemain industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalamucapan perasmiannya berkata, bagi memastikan objektif jaminan sekuriti makanan negara tercapai, proses pemindahan teknologi adalah penting bagi meningkatkan kelestarian sumber pengeluaran, pemprosesan, pengedaran serta penyediaan makanan negara.
"Pemindahan teknologi pertanian akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya ia dapat diaplikasikan secara efektif di lapangan.
"MARDI sebagai Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian telah menaja banyak teknologi berkaitan pertanian dan industri agromakanan di mana teknologi ini perlu dikembangkan kepada golongan sasar.
"Jadi saya berharap Show-tech MARDI 2023 mampu menjadi aspirasi bagi memastikan kelancaran dan kerancakan aktiviti pemindahan teknologi kepada golongan sasar seterusnya memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan makanan negara,” ujarnya.
Show-tech MARDI 2023 memfokuskan enam kluster utama bidang penyelidikan di MARDI dengan lebih 300 Teknologi dan Inovasi Pertanian dipamerkan iaitu tanaman (hortikultur, tanaman makanan iaitu padi dan tanaman industri), ternakan, teknologi makanan, mekanisasi, pemindahan teknologi serta agropelancongan.
Dengan seramai 500,000 pengunjung dijangka hadir, Show-tech MARDI 2023 yang berlangsung di dua tempat utama iaitu di dewan A dan Tapak Show plot.
Program bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.