MARDI, Maybank jalin kerjasama pacu pertanian bandar
Astro Awani
Jun 27, 2023 19:48 MYT
Jun 27, 2023 19:48 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Maybank menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha untuk memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam sektor pertanian bandar.
MoU itu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf dijangka memberi manfaat kepada masyarakat bagi menangani cabaran alam sekitar dan menggalakkan gaya hidup mampan di kawasan bandar.
Menurut Mohamad Zabawi, MoU itu bertujuan menjalinkan perkongsian dalam melaksanakan latihan dan membangunkan modul latihan yang komprehensif dan terkini mengenai pertanian bandar.
“Perjanjian ini juga berfungsi untuk mengintegrasikan sistem pengetahuan dalam inisiatif pertanian bandar melalui perkongsian data dan maklumat, pengajaran yang diperoleh, amalan terbaik serta memacu aktiviti pertanian bandar untuk masyarakat yang lebih luas.
“Selain itu, kerjasama ini juga membuka peluang untuk meneroka program dan projek yang berpotensi dan memberi manfaat kepada masyarakat serta melaksanakan pemindahan teknologi pertanian bandar dan aplikasi infrastruktur hijau daripada MARDI kepada Maybank dan komunitinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohamad Zabawi berkata kerjasama strategik dengan Maybank itu akan turut memberi pendedahan dan manfaat kepada kakitangan Maybank yang berminat dalam bidang pertanian dan keusahawanan.
“Program ini menyediakan kursus, latihan, bimbingan daripada penyelidik bertauliah dan berpengalaman serta peluang untuk menyediakan rancangan perniagaan.
“Di samping itu, kerjasama itu juga diharap dapat mempercepatkan penggunaan teknologi pertanian berinovasi secara terus kepada usahawan muda di Malaysia khususnya kakitangan Maybank,” tambahnya.
Sementara itu, Nora berkata, Maybank menjalin kerjasama tersebut untuk membantu masyarakat dalam aspek keselamatan dan keterjaminan makanan, memacu pembangunan mampan serta memupuk perubahan positif dalam masyarakat.