MARDI lancar lima produk inovasi seiring memperkasa sekuriti makanan

Astro Awani
Oktober 18, 2022 23:57 MYT
Hari Inovasi MARDI yang diadakan pada setiap tahun merupakan platform bagi warga MARDI mempersembahkan hasil kajian yang berinovatif selari dengan amanah dan tanggungjawab MARDI sebagai Institusi penyelidikan agromakanan utama Negara. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lima produk inovasi terbaharu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memberi manfaat kepada masyarakat ketika dunia diancam masalah sekuriti makanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, produk yang berfokus untuk mengurangkan kebergantungan import itu adalah Teknologi Floc Test untuk pengesanan penyakit padi dan Teknologi Nano Formulasi untuk penyakit padi.
"Selain itu, MARDI turut memperkenalkan bar pembebasan tenaga berkala, kandi bertenaga tinggi dan minuman pemulihan sukan yang berupaya yang memberi manfaat kepada negara.
"MARDI sentiasa menerapkan pendekatan-pendekatan baharu dalam penyelidikan bagi menghasilkan inovasi dah teknologi untuk sektor pertanian dan industri makanan.
“Fokus penyelidikan yang dijalankan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan bagi mengurangkan kebergantungan import dan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara bagi menjamin sekuriti agromakanan negara,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, beliau merasmikan Hari Inovasi MARDI 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Hari Inovasi MARDI yang diadakan pada setiap tahun merupakan satu platform bagi warga MARDI mempersembahkan hasil kajian yang berinovatif selari dengan amanah dan tanggungjawab MARDI sebagai Institusi penyelidikan agromakanan utama Negara.
Dengan bertemakan “R&D Memperkasa Sekuriti Makanan”, tema berkenaan amat bertepatan dengan isu global masa kini yang dialami oleh seluruh dunia termasuklah Malaysia yang berhadapan dengan krisis pengeluaran makanan yang terjejas akibat daripada pemulihan pasca COVID19, ditambah pula peperangan negara luar, perubahan cuaca yang semakin meruncing dan sebagainya.
#MAFI #MARDI #sekuriti makanan #Agromakanan
;