Mardi lancar baka kambing baharu dikenali 'BK'

Bernama
September 28, 2019 07:47 MYT
Salahuddin serta Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan (dua, kanan) memegang anak kambing baka BK ketika melawat ke kandang baka kambing itu di MARDI Kluang, 28 Sept, 2019. --fotoBERNAMA
Baka kambing baharu, dikenali sebagai 'BK' dilancarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), hari ini, sekali gus bakal memenuhi kehendak pasaran selain memastikan bekalan makanan negara ini terus terjamin.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata BK merupakan kacukan antara baka kambing Boer betina dan baka kambing Katjang jantan, di mana hasilnya menjadi baka BK yang bersaiz sederhana besar dan sesuai untuk pasaran domestik pada umur dua tahun dengan berat antara 45 dan 55 kilogram.
"Syabas dan tahniah kepada Mardi atas inovasi ini. Hari ini kita dapat menyaksikan baka baharu ini yang dengan rasminya saya namakan 'BK' bersempena nama gabungan Boer dan Katjang," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran baka baharu BK dan perasmian Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan Mardi, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
Salahuddin berkata antara kelebihan BK adalah kadar pertumbuhan dan kebuntingan yang tinggi sehingga 93 peratus, daging yang akan dihasilkan kurang berbau hamis, serta umur sesuai dibiakkan lebih awal.
Menurutnya, BK juga lebih berdaya tahan terhadap penyakit dan jangkitan parasit, manakala binaan badan juga lebih berotot serta kurang lemak.
"Saya tidak ragu lagi dengan kemampuan yang dimiliki Mardi terutamanya dalam kejuruteraan genetik. Saya rasa ramai saintis kita setanding saintis dunia.
"Tetapi isunya adalah hasil penyelidikan ini dapat dikomersilkan pada akan datang. Bila dikomersilkan, barulah kita dapat tambah pendapatan isi rumah terutamanya golongan B40," katanya dengan menambah ketika ini terdapat 80 ekor kambing BK di COE Ternakan Mardi.
Sementara itu, Mohamad Roff berkata COE Ternakan Mardi merupakan transformasi naik taraf Mardi Kluang dan merupakan COE ketiga dilancarkan selepas COE Buah-Buah Tropika di Mardi Sintok, Kedah, serta COE Padi di Mardi Seberang Prai, Pulau Pinang.
"Transformasi ini penting untuk memastikan penyelidikan dan pemindahan teknologi yang dijalankan lebih strategik, lebih holistik dan menepati kehendak industri masa kini, yang berbeza dari kehendak industri hampir 50 tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
#baka kambing #berdaya tahan #hasil penyelidikan #kacukan #kambing #kambing BK #kambing boer #kambing Katjang #komersil #MARDI #Mohamad Roff Mohd Noor #naik taraf #penyakit #Salahuddin Ayub #transformasi
;