MARDI hasrat jadikan Johor hab pengeluaran produk klon berkualiti

Bernama
Oktober 13, 2019 04:27 MYT
Gambar hiasan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhasrat mahu menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran produk pertanian klon bermutu tinggi di negara ini.
Pengarah MARDI Negeri Johor Dr Johari Sarip berkata antara produk klon berkualiti yang akan dikomersialkan termasuk Rambutan Mutiara Merah dan Mutiara Wangi, Belimbing Bintang Emas dan Durian MDUR 88.
"Kita cuba komersialkan empat ini sebagai usaha untuk memperkenalkan Johor sebagai negeri pengeluar produk klon bermutu tinggi.
"Kita hendak fokus tanaman ini di kawasan luas setempat seperti Rambutan Mutiara Wangi yang mana kita sudah dapatkan kawasan seluas enam ekar di Johor jadi dia tidak bersepah dan senang untuk kita kenal pasti," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Perasmian MARDI bersama Komuniti Pekan Nenas, di sini, pada Ahad.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub. Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
Sementara itu, Datuk Dr Mohamad Roff berkata inisiatif Hari MARDI bersama Komuniti Pekan Nenas adalah hasil usaha MARDI Johor yang bertujuan untuk memperkenalkan fungsi dan objektif institut itu di negara ini.
"Kita membangunkan teknologi dan fungsi kita untuk menterjemahkan teknologi dalam bentuk khidmat nasihat dan sebagainya untuk golongan sasaran kita seperti petani dan dibantu dengan agensi lain seperti Jabatan Pertanian dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Kita ada sebuah stesen di Pekan Nenas untuk jalankan penyelidikan buah-buahan di atas tanah gambut tetapi lebih kepada tanaman nanas," katanya lagi.
Tambahnya, sebuah bangunan baharu akan dibina di Pontian yang menelan belanja RM4 juta yang dijangka siap tahun hadapan yang akan memfokuskan buah-buahan tidak bermusim.
-- BERNAMA
#Belimbing #buah-buahan #durian #FAMA #hab pengeluaran #Johari Sarip #klon #MARDI #Pekan Nenas #penyelidikan #produk pertanian #Rambutan #Salahuddin Ayub #teknologi
;