MARDI fokus kesedaran biodiversiti, perkasa keselamatan makanan
Hasimi Muhamad
Mei 25, 2023 21:09 MYT
Mei 25, 2023 21:09 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengambil langkah proaktif untuk memastikan kelestarian pertumbuhan sektor pertanian negara, sekali gus menyokong keterjaminan bekalan makanan dari segi kuantiti dan kualiti.
Inisiatif tersebut termasuk menganjurkan sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat MARDI 2023 selari dengan sambutan Hari Biodiversiti Sedunia pada 22 Mei setiap tahun.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani, sambutan tersebut bagi memberi fokus tentang kesedaran isu biodiversiti, selain melihat hala tuju negara dalam pengurusan biodiversiti serta perlaksanaan aktiviti yang berkaitan.
"MARDI sebagai sebuah institusi penyelidikan berasaskan pertanian sentiasa memastikan hasil penyelidikan dapat mencapai sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terutama dalam aspek ketersediaan, kestabilan serta kemampanan sekuriti makanan negara tanpa mengabaikan kelestarian biodiversiti.
"Sasaran ini telah menjadi panduan utama dalam strategi penyelidikan MARDI di bawah Teras Ke-3 yang memfokuskan kepada aspek penerokaan, pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti, serta sumber asli untuk kelestarian pertanian serta penjanaan kekayaan baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Mohamad Zabawi berkata sebagai simbolik Hari Biodiversiti, MARDI turut melancarkan varieti baharu periuk kera iaitu spesis Nepenthes rafflesiana var. zabawiana.
Jelas beliau, varieti baharu tersebut ditemui di Taman Negeri Rompin, Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu melalui dokumentasi projek penyelidikan yang dijalankan oleh institusi penyelidikan itu bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Turut diadakan sempena sambutan tersebut ialah seminar secara hibrid yang disertai lebih 150 orang peserta bagi berkongsi mengenai peluang, hala tuju serta jaminan kelestarian biodiversiti.
Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini bertemakan “From Agreement to Action: Build Back Biodiversity”.