Maraton Antarabangsa Jambatan P. Pinang 2020 akan berlangsung secara maya

Bernama
September 1, 2020 17:04 MYT
Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2020 akan dilaksanakan menerusi aplikasi larian maya di seluruh dunia dan bakal menawarkan pengalaman berbeza. - Gambar fail BERNAMA
Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2020 buat julung kalinya akan berlangsung secara maya, berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Yeoh Soon Hin berkata, PBIM 2020 akan dilaksanakan menerusi aplikasi larian maya di seluruh dunia dan bakal menawarkan pengalaman berbeza.
Beliau berkata aplikasi itu yang dinamakan 'PBIMVR 2020', diwujudkan khas untuk melaksanakan larian maya PBIM tahun ini dan dijangka dilancarkan pada minggu ketiga September.
"Kami percaya bahawa ini akan menjadi pengalaman PBIM yang unik, kerana jarak perjalanan tidak lagi menjadi batasan," katanya dalam sidang media di sini, sambil menambah pendaftaran akan dibuka pada 1 Okt dan ia adalah percuma untuk semua.
Larian maya itu akan bermula pada tengah malam 21 Nov dan berakhir pada 11.59 malam, 22 Nov mengikut zon waktu Malaysia (GMT+ 8).
Peserta larian maya PBIM akan diberi tempoh 48 jam untuk menyelesaikan larian kategori berdaftar mereka, iaitu larian 10 kilometer (km), Separuh Maraton (21km) atau Maraton Penuh (42km).
Bagaimanapun beliau menjangkakan larian maya itu hanya disertai kira-kira 3,000 peserta dan tidak sebanyak penyertaan pada tahun lepas iaitu membabitkan 25,000 peserta.
Yeoh juga berkata kira-kira 7,000 peserta yang mendaftar pada tahun lepas untuk menyertai PBIM 2020 perlu mendaftar semula untuk mengambil bahagian dalam acara maya tahun ini.
Katanya peserta PBIM 2020 yang mendaftar awal juga akan dibawa secara automatik untuk menyertai PBIM 2021.
Beliau berkata walaupun bayaran pendaftaran tidak akan dikembalikan, ia boleh dipindah milik bagi mereka yang tidak dapat mengambil bahagian pada tahun ini untuk PBIM tahun depan.
"Tarikh untuk PBIM 2021 akan diumumkan pada Januari tahun depan setelah disahkan, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19," tambahnya. - BERNAMA
#aplikasi larian maya #COVID19 #George Town #Jambatan Pulau Pinang #Maraton Antarabangsa #PBIMVR 2020
;