Marahkan gajah, pekebun hilang lima jari akibat mercun
Nazialita Geynna Maharan
November 10, 2016 19:34 MYT
November 10, 2016 19:34 MYT
Seorang pekebun di Kampung Ulu Jepai, Gelok di sini hilang kelima-lima jari tangan kanannya akibat hancur setelah mercun yang dinyalakan meletup di tangan sebelum dia sempat melemparkannya ke arah gajah liar yang menceroboh dan memusnahkan tanamannya.
Sebelum itu Azmi Sharif, 56, yang merupakan kakitangan Majlis Daerah Lenggong bertindak mengambil mercun bola dalam simpanannya setelah menyedari kehadiran gajah liar berhampiran rumahnya pada 6.30 pagi Khamis.
Ketua Kampung Gelok, Kamarudin Hamzah berkata, mangsa sebelum ini pernah meluahkan rasa marahnya terhadap haiwan liar itu yang sering memusnahkan tanamannya seperti pisang dan tanaman kontan lain.
"Pagi tadi, saya diberitahu Azmi terdengar kehadiran gajah berhampiran rumahnya dan beliau terus bertindak mengambil mercun dengan tujuan untuk menghalau serta menakutkan haiwan liar itu.
"Malangnya, hasratnya bertukar tragedi apabila mercun yang dinyalakannya di tangannya tiba-tiba meletup sebelum dia sempat lemparkan ke arah gajah liar.
"Azmi langsung tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.
Tambahnya, seekor gajah dikesan sering merosakkan tanaman penduduk kampung semenjak setahun lepas sehingga berkeliaran di kawasan berhampiran rumah penduduk.
Menurutnya, laporan telah dibuat malah anggota Perhilitan pernah datang melaksanakan pemantauan tetapi haiwan itu tetap berani masuk sehingga menyebabkan penduduk bertindak menghalaunya sendiri dengan pelbagai cara termasuk menggunakan mercun bola.
"Pagi tadi pun selepas kejadian itu, seramai enam anggota Perhilitan Gerik datang memantau dan mencari gajah berkenaan tetapi tidak menjumpainya kerana dipercayai sudah masuk bersembunyi di dalam hutan tebal di situ.
"Penduduk sudah banyak menanggung kerugian kerana pelbagai tanaman seperti pisang, kelapa, durian, cempedak selain tanaman kontan lain yang rosak angkara gajah berkenaan.
Kamarudin berharap, agar pihak Perhilitan dapat menangkap gajah berkenaan dengan segera sebelum memindahkannya ke habitat lain seperti di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) demi keselamatan penduduk kampung di Lenggong.
#Bom Bola
#gajah liar
#Gelok
#hilang lima jari
#Kampung Ulu Jepai
#Lenggong
#mercun meletup
#Perak
#Perhilitan