MARA tidak berkompromi gejala buli - Mahdzir Khalid

Hilmi Malik
Disember 10, 2021 16:17 MYT
Siasatan terperinci telah diarahakan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya benar ia membabitkan pelajar tersebut kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Majlis Amanah Rakyat Mara (MARA) tidak akan berkompromi dengan sebarang gejala buli sekiranya benar insiden yang tular baru-baru ini melibatkan pelajarnya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, susulan itu pihaknya telah mengarahkan siasatan terperinci membabitkan video yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu itu.
"Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA: Dakwaan buli: Bukan di institusi bawah KPM - Radzi Jidin
Tegasnya lagi, tindakan tegas bakal diambil sekiranya perkara itu disahkan benar berlaku membabitkan kesemua pelajar tersebut.
“Pihak MARA tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan yang menyalahi etika kemanusiaan,” katanya lagi.
[TERKINI] Polis siasat kes buli di asrama
Video yang tular di media sosial sebelum ini antara lain sekumpulan pelajar dipercayai di sebuah sekolah berasrama melakukan perbuatan buli dengan bertindak memukul seorang pelajar secara bergilir-gilir.
Insiden berkenaan turut mendapat kecaman pelbagai pihak yang menggesa tindakan diambil terhadap kesemua pelajar terbabit.
#Mahdzir Khalid #MARA #pelajar #buli
;