Mara teliti keperluan naikkan kadar biasiswa

Bernama
November 6, 2023 14:30 MYT
Asyraf Wajdi berkata semua aspek termasuk kemampuan kewangan negara juga perlu dinilai secara terperinci sebelum sebarang keputusan berkaitan kadar baharu biasiswa itu dilaksanakan. - Gambar fail
KANGAR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneliti keperluan menaikkan kadar biasiswa pendidikan di bawah tajaannya dalam usaha mendepani cabaran ekonomi semasa serta peningkatan kos sara hidup.
Pengerusi Mara Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua aspek termasuk kemampuan kewangan negara juga perlu dinilai secara terperinci sebelum sebarang keputusan berkaitan kadar baharu biasiswa itu dilaksanakan.
"Setakat ini kita meneliti secara dekat, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam lawatan ke UK (United Kingdom) dan Jerman baru-baru ini, beliau telah mengarahkan kepada saya dan Mara untuk menilai perkara ini secara serius.
"... ini semua harus dinilai secara teliti dan mempunyai kesan kewangan, peruntukan (untuk biasiswa) itu datang dari kantung negara juga," katanya selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara-Petronas (PUMP) di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan pemberita sama ada Mara akan menaikkan kadar biasiswa untuk pelajar selari dengan cabaran ekonomi semasa dan kos sara hidup yang dihadapi dalam kalangan rakyat pada masa ini.
Asyraf Wajdi berkata Timbalan Perdana Menteri sememangnya menunjukkan keprihatinan beliau terhadap isu berkenaan dan kerajaan berusaha mencari langkah penyelesaian berkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata Mara memperuntukkan dana berjumlah RM12.65 juta bagi membiayai 21 usahawan yang membuka 29 pusat servis di bawah PUMP dengan membuka lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Dalam tempoh dua tahun ini, usahawan di bawah program PUMP ini telah mencapai nilai jualan melebihi RM35 juta... tiga lagi outlet (pusat servis) akan dibuka di Terengganu selepas Perlis ini," katanya.
Menurut Asyraf Wajid pihaknya menyasarkan sebanyak 100 pusat servis menerusi PUMP dibuka pada tahun hadapan.
PUMP yang dilaksanakan pada 2021 ialah program kerjasama antara Mara dengan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd dalam usaha membangunkan komuniti usahawan automotif yang dinamik dan kompeten melalui peningkatan imej serta susun atur bengkel yang menepati piawaian industri sekali gus mampu menjadi pesaing lebih baik di pasaran.
Di Perlis, Nasr Utara Automotif Sdn Bhd merupakan pusat servis pertama diperkenalkan menerusi PUMP.
-- BERNAMA
#MARA #Asyraf Wajdi Dusuki #kadar biasiswa #pelajar tajaan
;