MARA siasat guru didakwa pedofil

Sinar Harian
Mac 30, 2024 13:45 MYT
Asyraf berkata beliau telah mengarahkan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dan perlu dijalankan segera. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membuat siasatan secara menyeluruh terhadap seorang guru yang didakwa terlibat dengan kes pedofilia ke atas murid di salah sebuah sekolah berasrama penuh yang dikelolakan oleh institusi itu.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan dari Ibu Pejabat MARA akan turun ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kesahihan dakwaan tersebut.
"Saya telah mengarahkan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dan perlu dijalankan segera.
"Dalam pada itu, guru berkenaan digantung tugas sehingga siasatan selesai," katanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kenyataan tular seorang pengguna aplikasi X yang mendakwa terdapat guru merupakan pedofil di salah sebuah cawangan Maktab Rendah Sains MARA di Kelantan.
Guru terbabit didakwa masih mengajar secara bebas walaupun pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini.
Menurut hantaran itu, dia dan kawan-kawan pernah menjadi mangsa guru berkenaan ketika menjadi pelajar sekolah itu.
Pengguna itu juga berharap pelajar yang pernah menjadi mangsa guru terlibat tampil ke hadapan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#MARA #Asyraf Wajdi Dusuki #guru #pedofil
;