Mara sasarkan jualan usahawan RM100 juta di MIHAS Dubai

Nazri Kahar
November 16, 2024 18:41 MYT
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyertaan 17 usahawan GTG Mara pada MIHAS@Dubai 2024 dijangka melonjakkan jualan tahunan sehingga 30 peratus tahun ini. - Gambar/ Bernama
DUBAI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk meraih potensi jualan mencecah RM100 juta melalui penyertaan 17 usahawan Program Gate to Global (GTG) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang bakal berlangsung 18 November di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Dubai.
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyertaan 17 usahawan GTG Mara pada MIHAS@Dubai 2024 dijangka melonjakkan jualan tahunan sehingga 30 peratus tahun ini.
Katanya, pameran itu menyediakan peluang besar kepada usahawan mempromosikan produk serta meneroka pasaran luar dengan menjadikan Dubai sebagai gerbang ke negara Asia Barat.
“Bila masuk ke peringkat antarabangsa seperti ini (MIHAS@Dubai 2024), kita bukan saja mahu pendedahan tapi kita juga mahu (jana) potensi jualan. Ini bukan syarikat-syarikat yang baru bertapak tetapi mereka sudah memiliki produk sendiri di pasaran domestik," katanya.
Beliau berkata, Mara di bawah inisiatif pembangunan usahawan telah melaksanakan program G2G sejak 2017 untuk meneroka potensi antarabangsa dalam industri halal yang mempunyai prospek besar.
Tambah Asyraf: "... para usahawan yang dalam kategori GTG iaitu usahawan yang berpotensi, kita telah bimbing mereka sejak dari awal hingga mereka dapat pensijilan antarabangsa seperti HACCP, pensijilan halal dan GMP.
"Kita akan bantu mereka hingga peringkat global. Mara sendiri ada Mara Industrial Park bagi membantu usahawan kilang yang memerlukan kapasiti yang lebih besar.
"Kita dapati usahawan ada potensi tapi mereka tiada pengalaman, tiada pendedahan dan tidak memiliki syarat-syarat yang lengkap seperti untuk memasuki pasaran Eropah ia tidak sama dengan pasaran Timur Tengah (Asia Barat).
"Produk bagus tapi penjenamaan kurang menarik, pembungkusan tidak menepati piawaian global. Jadi bagi usahawan yang menyertai pameran antrabangsa seperti MIHAS Dubai, kita akan interview, kenal pasti kapasiti produk, kapasiti pengeluaran, kita tak mahu apabila ada permintaan di MIHAS seperti dua tiga kontena produk, mereka tidak mampu memenuhi permintaan yang dimahukan," katanya.
Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di dalam satu kenyataan berkata, acara yang julung-julung kali diadakan itu menarik kira-kira 250 syarikat Malaysia, yang juga bertepatan dengan Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah dari 18-20 November 2024.
#MARA #Asyraf Wajdi Dusuki #GTG #MIHAS
;