MARA, pemain industri kerjasama pacu pendidikan, keusahawanan, pelaburan Bumiputera

Bernama
Mac 21, 2022 04:59 MYT
Azizah (kiri) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Pengarah Urusan Hino Motors Sales (Malaysia) Atsushi Uchiyama (kanan) dan Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf di Ibu Pejabat MARA, 21 Mac 2022. - Foto MARA
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan agendanya memperkasa pembangunan Bumiputera, melalui kerjasama dengan beberapa pemain industri utama serta agensi teknologi bagi memacu program pendidikan, keusahawanan dan pelaburan golongan itu berteraskan teknologi.
Pengerusi MARA Datuk Seri Azizah Mohd Dun menerusi kenyataan berkata persetujuan kerjasama selama tiga tahun itu, dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Technology Depository Agency Berhad (TDA), HINO Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd dan SIRIM Berhad, di sini semalam.
"Kolaborasi ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar melalui beberapa bidang fokus, antaranya akses kepada pasaran global, pembangunan sumber manusia serta pemindahan teknologi serta pengetahuan.
"Melalui kerjasama ini bukan sekadar memberi manfaat kepada pihak MARA dan HINO, tetapi ia akan membantu merancakkan lagi penglibatan Bumiputera dalam industri automotif, terutamanya MRO (penyenggaraan, pembaikan dan operasi) dan dalam masa yang sama membantu mewujudkan lebih ramai tenaga kerja mahir, dalam waktu terdekat," katanya menerusi kenyataan itu.
Sementara itu, Azizah memaklumkan MARA turut bekerjasama dengan HINO Motors, untuk mewujudkan program pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang MRO kenderaan komersial.
Beliau berkata, MARA yang berperanan membangunkan industri perabot Bumiputera iaitu FITEC, turut memeterai perjanjian bersama SIRIM Berhad bagi tujuan Skim Pensijilan Barangan Perabot, merangkumi pensijilan dan pengujian untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata SIRIM QAS International, akan memperakui pematuhan perabot mengikut Standard Malaysia dan antarabangsa, merangkumi aspek keselamatan, fungsi dan ketahanan perabot.
"Penggiat industri, pengilang, pengeluar dan pengedar perabot disarankan untuk mendapatkan kedua-dua skim pensijilan, iaitu Skim Pelabelan Eko SIRIM dan Skim Pensijilan Perabot, sebagai nilai tambah terhadap kualiti produk mereka," katanya menerusi kenyataan.
-- BERNAMA
#MARA #azizah mohd dun #agenda memperkasa pembangunan Bumiputera #industri automotif
;