Mara Patani disaran contohi rundingan damai kerajaan Filipina-MILF
Bernama
Februari 24, 2016 21:32 MYT
Februari 24, 2016 21:32 MYT
Majlis Syura Patani (Mara Patani) hari ini disaran mencontohi kejayaan rundingan damai antara Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang dilaksanakan secara komprehensif.
Malaysia bertindak selaku orang tengah dalam rundingan tersebut yang menghasilkan perjanjian damai antara kedua-dua pihak pada Oktober 2012.
Fasilitator Kumpulan Kerja Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim berkata apa yang telah dicapai antara GPH dan MILF meliputi pelbagai perkara.
"Jadi itu boleh diguna pakai sebagai contoh.
"Ini kerana yang jadi isu sekarang mereka (Mara Petani) masih belum fikir apa nak dirunding dengan kerajaan Thai.
"Adakah hanya isu perundangan, hak asasi manusia?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan seminar Konflik di Selatan Thailand, Peranan dan Cabaran Malaysia Sebagai Pihak Ketiga di sini.
Ahmad Zamzamin turut menyebut perlunya ada wakil bukan militan dalam Mara Patani agar suara seluruh rakyat Selatan Thailand diwakili, sekali gus membawa satu resolusi kepada kerajaan Thailand di meja rundingan.
Menurutnya, buat masa ini Mara Patani hanya dianggotai kumpulan-kumpulan militan, manakala kelompok bukan militan masih berpecah.
"Isu selatan Thai bukan lagi monopoli pihak militan tapi adalah isu diterima seluruh masyarakat Patani.
"Ini satu kemajuan dalam kalangan pihak militan sendiri yang merasakan bahawa mereka dapat terima hakikat bahawa mereka mesti libatkan rakyat di lapangan," katanya.
Mara Patani ditubuhkan pada 25 Okt 2014 oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang membuka peluang kepada organisasi bukan militan Patani untuk menyertainya.
Ia adalah gabungan enam kumpulan militan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga pihak dalam Patani Liberation Organisation (Pulo), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP).