MARA nafi cuba sembunyi kes COVID-19 di MRSM Bentong
Ridauddin Daud
Februari 4, 2021 16:12 MYT
Februari 4, 2021 16:12 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan dakwaan pihaknya cuba menyembunyikan kes positif COVID-19 yang dikesan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong, Pahang.
MARA menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihak maktab sentiasa memberikan maklumat terkini kepada ibu bapa dan semua kakitangan mengenai situasi sebenar dan tiada arahan dikeluarkan supaya pelajar mendiamkan diri.
Bahkan, sejak dari awal jangkitan dikesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong terlibat secara langsung dalam melaksanakan ujian saringan dan menguatkuasa prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan di maktab tersebut.
“MRSM Bentong telah mengambil langkah segera yang sewajarnya dengan menubuhkan Jawatankuasa Bencana COVID-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku.
“Dalam masa yang sama pihak maktab terus berhubung dengan PKD berkenaan kes pelajar dan juga pekerja dewan selera.
“Seramai 38 orang pelajar, lima pekerja dewan selera, enam staf bertugas di asrama dan seorang guru yang didapati sebagai kontak rapat kepada pelajar yang disahkan positif telah menjalani ujian saringan di maktab,” katanya.
PKD Bentong juga membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab dan pelajar yang didapati bergejala serta positif diasingkan, ditempatkan di rumah warden.
Menurut kenyataan itu, maktab sentiasa memastikan makanan untuk pelajar mencukupi dan setiap hari petugas akan menghantar bungkusan makanan kepada semua pelajar yang dikuarantin selama 10 hari itu.
“Pihak maktab turut membekalkan peranti dan gajet yang sesuai kepada pelajar yang memerlukan sebagai kemudahan untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian dan membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
“Para pelajar lain turut dikawal pergerakan mereka dengan hanya terhad di aras bilik mereka dan ditempatkan seorang bagi setiap bilik untuk memastikan penjarakan dilaksanakan setiap masa,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, bomba sudah melakukan kerja-kerja sanitasi di asrama, bilik kuliah dan sekitar maktab.
“Pengurusan MRSM sentiasa mengikuti SOP yang telah ditetapkan dengan dipantau oleh pihak berwajib dan SOP ini bukanlah ditentukan oleh pihak MARA.
“Ibu bapa dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang situasi semasa anak-anak.
“MARA sentiasa mengambil berat dan peka mengenai keperluan para pelajar terutamanya dari aspek keselamatan dalam menghadapi pandemik ini,” menurut kenyataan itu.
#MARA
#MRSM
#Bentong
#Pahang
#SPM
#SOP
#bomba
#pelajar
#kuarantin
#COVID-19
#kes positif
#pandemik
#kesihatan
#guru
#ujian saringan
#keselamatan
#operasi
#Sijil Pelajaran Malaysia