MARA hantar 1,300 pelajar cemerlang lanjut pelajaran ke luar negara
Bernama
Oktober 10, 2022 18:03 MYT
Oktober 10, 2022 18:03 MYT
BANTING: Seramai 1,300 pelajar cemerlang tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dihantar melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mahdzir berkata untuk itu agensi berkenaan dianggarkan membelanjakan antara RM600,000 dan RM1.2 juta bagi tajaan seorang pelajar.
"Mereka adalah anak-anak dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang cemerlang dan dihantar belajar ke luar negara kerana kita nak bagi mereka peluang seterusnya kembali memberi sumbangan kepada negara sama ada menjadi jurutera, peguam, doktor mahupun arkitek," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mini Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia Felcra di Kolej MARA Banting hari ini.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata penganjuran mini karnival yang dilaksanakan oleh Felcra di seluruh negara itu, giat dijalankan di seluruh negara sebagai usaha agensi itu menyampaikan pelbagai perkhidmatan seperti pendidikan, kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
-- BERNAMA