'Mara beku semua urusan hartanah luar negara' - Annuar

Wan Syamsul Amly
Julai 22, 2015 12:39 MYT
ANNUAR: 'Mara beku semua urusan hartanah luar negara' - Gambar fail
Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini memaklumkan pembekuan pelaburan di luar negara sehingga siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.
Bekas Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan atau langkah seterusnya mengenai isu itu hanya akan dibuat selepas keputusan penyiasatan SPRM.
"Pegawai Mara Incorporated yang berkenaan juga sudah dipanggil untuk siasatan, saya juga menasihati orang ramai tidak menyebar spekulasi sebelum keputusan akhir penyiasatan dikeluarkan.
"Saya rasa eloklah kita jangan buat apa-apa terhadap bangunan itu ketika ini kerana ia masih dalam siasatan. Kita tunggu siasatan selesai," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil Mara bagi memberi penjelasan mengenai pembelian hartanah di luar negara, terutamanya di Australia, yang kini disiasat polis negara itu.
Bagaimanapun kata Nur Jazlan, agensi itu dijangka dipanggil pada hujung bulan Ogos nanti.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah pula menegaskan siasatan pihaknya terhadap skandal Mara itu akan tetap dilaksanakan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Ujarnya, pihaknya tidak akan menyerah kalah dan akan menjalankan siasatan secara adil.
Dalam pada itu, kata Annuar, Mara hanya akan menjual pangsapuri Dudley International House dan tiga lagi asetnya di Australia sebaik selesai siasatan oleh SPRM.
Kontroversi Mara terbongkar selepas akhbar Australia, The Age mendedahkan salah sebuah anak syarikat Mara, Mara Inc, dikaitkan dengan skandal pembelian pangsapuri di Melbourne pada harga yang lebih mahal selain didakwa berkait dengan unsur wang sogokan.
Pada awal Julai, Mara mengambil keputusan untuk merehatkan sementara dua pegawai kanan Mara Inc sepanjang siasatan berkenaan isu pembelian hartanah oleh syarikat tersebut di Melbourne.
Dua pegawai tersebut ialah Pengerusi Mara Inc, Datuk Muhamad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Halim A. Rahim.
#Annuar #MARA #Melbourne #SPRM