Maqis serah makanan haiwan kepada Penjara Machang
Bernama
Ogos 1, 2024 17:10 MYT
Ogos 1, 2024 17:10 MYT
ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menyumbang bekalan makanan haiwan bernilai RM24,120 kepada Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Machang, Kelantan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, semalam.
Pengarah Maqis Kedah Hisham Abu Bakar berkata sejumlah 3,000 kilogram keratan ayam sejuk beku diserahkan kepada pusat pemulihan tersebut bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi agensi tersebut.
"Kesemua serahan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan yang telah dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hishami, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap semua barang dagangan yang melibatkan isu biosekuriti terutamanya yang melibatkan aspek halal dan akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian di pintu masuk negara.
"Maqis juga akan terus memberi kerjasama dalam pelbagai aspek dan diharapkan usaha ini dapat membantu jabatan dan agensi yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA