Maqis Selangor sita serbuk protein whey dari Belanda

Bernama
Jun 13, 2024 16:21 MYT
Rampasan dagangan itu melibatkan sebuah kontena susulan pemeriksaan fizikal yang dilakukan pihaknya di sebuah gudang sekitar 3 petang.
SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menyita sejumlah 26,000 kilogram (kg) serbuk protein whey (dadih susu) dari Belanda dianggarkan bernilai RM140,036 di Pelabuhan Klang Barat, Isnin lepas.
Pengarahnya Mohd Sobri Md Hashim berkata rampasan dagangan itu melibatkan sebuah kontena susulan pemeriksaan fizikal yang dilakukan pihaknya di sebuah gudang sekitar 3 petang.
"Sitaan barang dagangan itu dilakukan kerana dipercayai menggunakan dokumen mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sobri berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengemukakan maklumat mengelirukan iaitu maklumat nombor loji dalam permit import tidak sama dengan kotak pada dagangan.
"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.
-- BERNAMA
#Belanda #maqis #serbuk protein whey dari Belanda #rampasan dagangan
;