MAQIS rampas ubi keladi, mangga seludup dari Thailand

Astro Awani
April 11, 2020 10:55 MYT
Ubi keladi dan mangga yang dirampas didapati cuba dibawa masuk tanpa dokumen yang sah seperti permit import daripada MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal. - Foto MAQIS
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dan merampas keluaran pertanian dari Thailand di Kompleks ICQS, di sini, malam tadi.
Menurut Pengarah MAQIS negeri Kedah, Lily Rosalind, pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan pada jam 11 malam.
Hasil pemeriksaan pihaknya menemui sebanyak 630 kilogram ubi keladi dan 300 kilogram buah mangga dengan anggaran nilai RM1,206.
Jelasnya, barangan terbabit tidak mempunyai dokumen yang sah seperti permit import daripada MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.
Katanya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) di bawah Akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya lagi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihaknya mempertingkatkan pememantauan dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara.
Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.
#Bukit Kayu Hitam #Kedah #keluaran pertanian #Kompleks ICQS #Lily Rosalind #Lori #mangga #maqis #pemeriksaan #PKP #rampas #ubi keladi
;