Maqis rampas daging kerbau RM4.28 juta guna logo halal tidak diiktiraf

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 11, 2021 22:52 MYT
Rampasan dibuat di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), jam 5.30 petang pada Isnin, Selasa dan Rabu lepas. - Maqis
BUTTERWORTH: Sebanyak 12 kontena membawa 335.91 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM4.28 juta dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf pihak berkuasa Malaysia.
Rampasan dibuat di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), jam 5.30 petang pada Isnin, Selasa dan Rabu lepas.
Menurut Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli pihaknya memeriksa kontena yang membawa 17,370 kotak daging sejuk beku dan mendapati ia menggunakan logo halal tidak diiktiraf.
"Produk dengan berat keseluruhan 335,914 kilogram dan dianggarkan bernilai RM4,277,912.38 itu disita untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika. sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Zarina berkata Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
#maqis #daging kerbau #sejuk beku #Halal #tidak diiktiraf #pulau pinang #kontena #juta #Terminal Kontena Butterworth Utara #Zarina Ramli
;