MAQIS rampas ayam sejuk beku dari Thailand bernilai RM250,000

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 17, 2021 11:21 MYT
Pemeriksaan MAQIS menemui 2,084 kotak dengan berat 25,008kg berisi keratan ayam sejuk beku yang disusun di dalam kontena tersebut. - Foto ihsan MAQIS
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk keratan ayam sejuk beku bernilai RM250,000 dari Thailand pada Jumaat lalu.
Jurucakap MAQIS Kedah, berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah lori kontena ketika melintasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 2,084 kotak dengan berat 25,008 kilogram (kg) berisi keratan ayam sejuk beku yang disusun di dalam kontena tersebut.
“Keseluruhan ayam sejuk beku itu bernilai RM250,000, ditahan untuk tindakan lanjut kerana telah mengemukakan maklumat yang tidak tepat dan dokumen yang mengelirukan.
“Kegagalan untuk mengemukakan maklumat yang tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, di bawah akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MAQIS sentiasa komited melakukan penguatkuasaan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara.
Ini bagi menjamin keluaran pertanian yang diimport dan dieksport ke dalam dan luar negara mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.
#Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia #Thailand #maqis #sejuk beku #Malaysia #Kedah #kastam #Imigresen #Ayam #rampas #MAQIS Kedah #lori kontena #ICQS #Bukit Kayu Hitam #keluaran pertanian #import #pintu masuk negara #dokumen mengelirukan
;