Maqis rampas 800 beg serbuk tanah liat tanpa permit dari India
Dewi Nur Harasha Alias
April 10, 2021 13:11 MYT
April 10, 2021 13:11 MYT
BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 800 beg serbuk tanah liat jenis Clay A1 dari India yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import yang sah.
Dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), kira kira jam 4.30 petang Jumaat, pihak Maqis mendapati sebuah lori kontena membawa serbuk tanah liat seberat 20,000 kilogram (kg) tanpa permit sah yang dianggarkan bernilai RM4,336.64.
Pengarah Maqis negeri, Noriah Dahlan berkata pemeriksaan mendapati pihak berkenaan gagal mengemukakan dokumen import permit yang sah bagi pengimportan tanah liat.
Noriah berkata kesemua barang dagangan tersebut ditahan untuk tindakan dan siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelas Noriah, pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.
Katanya, pemeriksaan itu juga bagi memastikan pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
#serbuk tanah liat
#tiada permit import
#clay A1
#maqis
#Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan
#Noriah Dahlan