MAQIS rampas 640kg cili merah dari China tiada permit import

Dewi Nur Harasha Alias
September 23, 2020 19:20 MYT
Terdapat 102 bakul cili merah besar di dalam sebuah kontena sayuran dari China yang tidak mempunyai permit import. - MAQIS
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 640 kilogram cili merah dari China dalam pemeriksaan di pintu masuk Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).
Jurucakap Maqis negeri berkata, rampasan itu dibuat pihaknya pada jam 8.40 pagi Selasa selepas produk itu didapati diimport tanpa permit yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 102 bakul cili merah besar di dalam sebuah kontena sayuran dari China yang tidak mempunyai permit import.
“Cili yang dirampas itu dianggarkan seberat 640.4 kilogram (kg) dan bernilai RM3,301.64,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728)
Menurut Jurucakap berkenan, hasil pertanian itu memerlukan permit import bagi mengawal lalat perosak buah cili atau Bactrocera latifrons dan memastikan penggunaan sisa racun makhluk perosak yang mematuhi piawaian.
#Butterworth #China #cili merah #Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia #maqis #NBCT #pulau pinang #rampasan #terminal kontena
;