Maqis rampas 3 kontena kayu 'pine timber' dari China
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 29, 2021 12:37 MYT
Mei 29, 2021 12:37 MYT
BUTTERWORTH: Cubaan membawa masuk kayu spesis pine timber dari China gagal apabila barang dagangan itu dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Pulau Pinang.
Kayu pain berkenaan dikesan cuba dibawa masuk menggunakan tiga kontena semasa pemeriksaan rutin di tapak pemeriksaan kontena NBCT, di sini, kira-kira jam 5.50 petang Khamis.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Noriah Dahlan berkata sebanyak 5,880 kilogram kayu pain bernilai RM30,314.43 itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat import permit yang dibenarkan Maqis.
"Kesemua dagangan tersebut ditahan kerana gagal mengemukakan permit import yang sah yang dikeluarkan oleh Maqis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Noriah berkata pengimportan kayu tanpa permit import yang sah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta sama.
#Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia
#maqis
#pine timber
#Kayu pain
#China
#Noriah Dahlan
#pengimportan kayu tanpa permit import sah