Maqis rampas 16 tan makanan haiwan dari Singapura
Siti Nur Aqilla Omar
Februari 15, 2023 13:06 MYT
Februari 15, 2023 13:06 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak 16 tan makanan haiwan yang dibawa masuk ke negara ini melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini, dirampas semalam.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, 16 palet makanan yang dibawa masuk dari Singapura itu ditahan pada jam 3.30 petang, selepas disyaki tidak mempunyai permit import yang sah.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan Pegawai Penguasa Maqis itu kemudian menemukan muatan 640 guni makanan haiwan dengan pembungkusan 25 kilogram setiap guni.
"Semua guni makanan haiwan itu disusun atas 16 palet dan dianggarkan bernilai RM326,390.90.
"Hasil pemeriksaan mendapati makanan haiwan berkenaan dibawa masuk tanpa mengemukakan Permit Import Maqis yang sah sebelum kemudian ditahan untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Edie Putra berkata perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import pihaknya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Katanya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua- duanya sekali.
"Pihak Maqis sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal," katanya.