MAQIS Kedah rampas petai 'satu lori'
Adie Sufian Zulkefli
September 26, 2019 15:50 MYT
September 26, 2019 15:50 MYT
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Negeri Kedah menggagalkan dan merampas petai yang dianggarkan seberat 1,000 kilogram yang dibawa masuk oleh pengimport melalui laluan kargo di Kompleks ICQS Durian Burung, Kedah secara tidak sah.
Dalam pemeriksaan tersebut, pihak MAQIS telah menahan sebuah lori yang membawa keluaran pertanian itu yang tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam perakuan.
Menurut Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Lily Rosalind A/P Paul Pakianathan, pihaknya telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada pengimport tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada pengimport tersebut atas kesalahan tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam perakuan.
Tambahnya lagi, perbuatan mengimport tanpa mematuhi syarat import adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728) boleh dihukum dibawah Seksyen 15(2), Akta yang sama.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kata Lily Rosalind lagi, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan jaminan keselamatan makanan negara terpelihara.
Penahanan keluaran pertanian ini adalah bertujuan untuk mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal dengan sebaiknya.