MAQIS Johor sita 25 tan daging babi dari Sepanyol
Siti Nur Aqilla Omar
Mac 13, 2024 10:45 MYT
Mac 13, 2024 10:45 MYT
PASIR GUDANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menyita daging babi dari bahagian pork belly dengan berat dianggarkan sebanyak 25 tan bernilai RM 400,000 yang diimport dari Sepanyol.
Pengarahnya, Edie Putra Md Yusof berkata, kemasukkan sebuah kontena yang membawa muatan tersebut dikesan di bay pemeriksaan import Pelabuhan Pasir Gudang, jam 6 petang semalam.
"Hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan, didapati konsainan terbabit tidak mematuhi syarat pengimportan.
"Tiada label yang diletakkan pada setiap bungkusan daging babi tersebut, manakala syarat permit menyatakan setiap daging hendaklah di label pada setiap bungkusan dengan meletakkan nama, alamat, nombor loji dan tarikh penyembelihan.
"Perbuatan ini disyaki menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2), Akta yang sama kerana tidak mematuhi syarat import.
"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Edie Putra, pihaknya telah mengambil keterangan wakil pengimport iaitu agen penghantaran.
"Lelaki berusia 47 tahun itu kemudian dilepaskan setelah keterangan diambil. Siasatan lanjut masih dijalankan.
"Pihak MAQIS sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian agar tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro-organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.