MAPS tutup: 265 pekerja akan dapat pampasan
Aida Aziz
Januari 29, 2020 22:44 MYT
Januari 29, 2020 22:44 MYT
Seramai 265 pekerja berstatus tetap dan kontrak yang diberhentikan serta-merta susulan notis penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) pada Selasa akan diberi pampasan.
Pengarah syarikat Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), Zadrul Insan Mustadza berkata keputusan itu dibuat oleh penerima dan pengurus yang dilantik menerusi pertimbangan mendalam.
Katanya lagi, para pekerja yang terkesan dengan tindakan itu akan diberikan pampasan mengikut garis panduan Akta Pekerja 1955.
"Pihak syarikat telah mengambil tindakan proaktif dalam usaha membantu pekerja dari pelbagai aspek.
"Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) hadir untuk memberi taklimat berkenaan pengurusan kewangan manakala PERKESO berkesempatan untuk menjelaskan mengenai tuntutan Sistem Insuran Pekerjaan PERKESO (SIP)," katanya dalam satu kenyataan bersama seorang lagi Pengarah syarikat ATP Sdn Bhd, Yang Idros Yang Razali.
Jelasnya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut sama hadir memberikan bantuan kaunseling kepada pekerja.
Di samping pihak syarikat bekerjasama dengan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan baru khususnya dalam bidang makanan dan minuman, khidmat pelanggan serta penyelenggaraan.
"Kehadiran Sunway Lost World of Tambun, Swiss-Garden, Hovid, Taiko Group,PCBL dalam membuka kaunter temuduga amat dihargai.
"Terdapat juga syarikat yang mengiklankan kekosongan jawatan melalui poster dan telah dihebahkan kepada pekerja," ujarnya.
#Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
#AKPK
#Akta Pekerja 1955
#Animation Theme Park Sdn Bhd
#Maps
#Movie Animation Park Studios
#pampasan
#Zadrul Insan Mustadza