MAPO perhebat usaha banteras jenayah pemerdagangan orang
Bernama
Ogos 2, 2021 11:00 MYT
Ogos 2, 2021 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jenayah pemerdagangan orang adalah merupakan jenayah ketiga tertinggi di dunia selepas pengedaran dadah serta penyeludupan senjata api dan Malaysia tidak terkecuali daripada aktiviti haram ini.
Malah insiden jenayah pemerdagangan orang di Malaysia menunjukkan tren peningkatan dengan rekod 165 kes pada tahun 2020 berbanding hanya 17 kes yang dilaporkan pada tahun 2008.
Selain itu jenayah penyeludupan migran di negara ini juga dilihat semakin serius dengan pertambahan bilangan kes yang mendadak iaitu daripada tiga kes pada tahun 2010 kepada 265 kes pada tahun 2020.
Menurut statistik Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), sejak tahun 2015 sehingga Jun 2021, sebanyak 1,854 kes pemerdagangan dengan jumlah tangkapan seramai 2,732 orang pesalah.
Seramai 10,463 orang mangsa pula berjaya diselamatkan serta diberikan perlindungan. Kesemua mangsa ditempatkan di 10 buah rumah perlindungan kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara.
Daripada laporan media massa, banyak kes penyeludupan imigran asing ini dibantu oleh sindiket tempatan untuk menyelinap masuk ke negara ini dan semestinya perkara ini mengancam keselamatan dan kedaulatan undang-undang negara.
Bagi mengekang penularan jenayah berkenaan, kerajaan Malaysia menggubal satu undang-undang khusus iaitu Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran atau ATIPSOM (2007) yang mula berkuatkuasa pada tahun 2008.
Selaras dengan penggubalan Akta ATIPSOM tersebut, kerajaan juga menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), antara lain bagi menyelaraskan pelaksanaan Akta ATIPSOM.
"MAPO juga berperanan merumuskan dasar dan program untuk mencegah serta memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.
"Ia juga berfungsi serta bertindak secara inklusif kerana ia dianggotai oleh pelbagai kementerian, agensi-agensi penguatkuasaan dan juga organisasi lain serta Pertubuhan Bukan kerajaan yang berkaitan, " Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.
PELBAGAI USAHA MAPO
Bercakap lebih lanjut tentang MAPO, Hamzah berkata, lima buah jawatankuasa dibentuk untuk menyokong pelaksanaan fungsi majlis iaitu Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Penguatkuasaan, Jawatankuasa Perlindungan dan Pemulihan Mangsa, Jawatankuasa Media dan Publisiti dan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh.
Terdapat lima (5) agensi penguatkuasa yang boleh menguatkuasakan Akta ATIPSOM 2007 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) termasuk Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.
Menurut beliau, ia juga menyelaraskan pelbagai usaha dan giat mendidik masyarakat umum mengenai kesalahan jenayah pemerdagangan orang termasuk penyeludupan migran.
"Ini termasuklah dengan meningkat serta mempergiatkan lagi penguatkuasaan di lapangan dan juga menggunakan semua medium media massa untuk menyalurkan maklumat berkenaan kesalahan jenayah ini.
"Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan Mahkamah khusus di Klang, Selangor untuk kes Antipemerdagangan Orang (ATIP) dan menubuhkan lapan buah Rumah Perlindungan (RP) kerajaan serta dibantu oleh dua buah Rumah Perlindungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang di Malaysia," katanya.
Beliau menegaskan, aktiviti penyeludupan migran pula adalah kesalahan yang mampu menggugat keselamatan dan kedaulatan negara. Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dan berkomplot dengan sindiket yang menyeludup migran demi mendapatkan habuan tertentu.
"Program perlindungan mangsa tidak terpakai kepada kumpulan migran yang diseludup melainkan sekiranya terdapat bukti bahawa mereka telah dieksploitasi sama ada secara seksual, buruh paksa mahupun penjualan organ yang menyebabkan mereka menjadi mangsa pemerdagangan orang," katanya.
TINGKATKAN PERANAN MAPO
Dalam memerangi kes pemerdagangan dan penyeludupan ini, MAPO melalui agensi penguatkuasaan terus memperhebatkan usaha untuk menyelamatkan mangsa pemerdagangan orang di Malaysia.
"Selaras dengan tema sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Tahun 2021 iaitu "Victims' Voices Lead the Way," adalah diharapkan mangsa pemerdagangan orang yang diselamatkan dapat memberikan kerjasama dan juga petunjuk kepada pegawai penguatkuasa bagi memastikan pesalah dapat dituduh dan disabitkan serta menerima balasan yang sewajarnya," kata Hamzah.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu lagi, bagi mereka yang berasa diri mereka dieksploitasi dan menjadi mangsa pemerdagangan orang, mereka juga boleh tampil membuat aduan agar agensi penguatkuasaan boleh mengambil tindakan segera.
Mangsa berkenaan, tegas beliau, adalah petunjuk penting bagi membantu pegawai penguatkuasa untuk mengambil tindakan menyelamatkan mangsa pemerdagangan orang daripada terus dieksploitasi dan semua mereka akan diberikan perlindungan di rumah perlindungan di seluruh negara selaras dengan prinsip Victim Centred Approach.
Beliau menambah, selaras dengan fungsi dan peranan MAPO yang termaktub dalam seksyen 7 Akta ATIPSOM 2007, MAPO akan terus memainkan peranan dalam memastikan aktiviti pemerdagangan serta penyeludupan migran yang dilihat semakin berleluasa di negara kita dapat dikawal dan sekaligus dapat dibanteras sepenuhnya.
"Hala tuju dan program terkini yang dicadangkan bagi membanteras aktiviti pemerdagangan orang telah ditetapkan dalam Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0)," jelas Hamzah.
PELBAGAI LANGKAH PENAMBAHBAIKAN
Menerusi Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) pada penghujung Mac 2021 yang lalu, telah dibentangkan dan dibincangkan langkah penambahbaikan yang telah serta akan diambil bagi menambah baik reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa berhubung isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Mengulas lanjut , beliau berkata, antara lain peranan yang dilaksanakan MAPO juga adalah menguatkuasakan Akta ATIPSOM 2007, melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 2021-2025) dan menambahbaik aspek pengenalpastian mangsa berpandukan indikator yang ditetapkan dalam National Guidelines on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
Selain itu Hamzah berkata, satu usaha yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memerangi jenayah pemerdagangan orang adalah dengan menggalakkan negara anggotanya menggubal undang-undang yang berkaitan serta menyediakan hukuman yang setimpal kepada individu atau penjenayah yang terlibat.
"Dalam konteks ini, kerajaan Malaysia telah memanifestasikan keseriusannya dalam menangani jenayah ini melalui penggubalan Akta ATIPSOM 2007.
"Akta ATIPSOM 2007 adalah merupakan Akta utama yang diguna pakai semenjak tahun 2008 bagi mengawal dan mengekang jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dari terus berleluasa. Akta ini telah dipinda sebanyak 2 kali sebelum ini iaitu pada 2010 dan 2015 bagi menambahbaik elemen penguatkuasaan, pendakwaan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang.
"Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima terdapat beberapa fasal (clause) dalam Akta ATIPSOM 2007 sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan akta ATIPSOM 2007 kekal relevan dan dapat meningkatkan sabitan kes pemerdagangan orang dan buruh paksa di Malaysia. Kerajaan kini dalam proses akhir untuk meminda akta ini mengikut keperluan dan perkembangan semasa dan ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen apabila Parlimen bersidang kelak," katanya.
Manakala Pelan Tindakan Kebangsaaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) atau lebih dikenali sebagai NAPTIP 2021-2025, ia adalah satu sumber rujukan dasar yang memaklumkan mengenai prinsip panduan, matlamat strategik serta tindakan yang dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun 2021-2025.
"Ini adalah merupakan perancangan jangka masa hadapan yang telah dirancang dalam usaha untuk mengekang jenayah pemerdagangan orang di Malaysia. Tindakan/aktiviti dalam NAPTIP 2021-2025 ini telah mula dilaksanakan pada tahun ini (2021) bergantung kepada kesesuaian sesuatu aktiviti dan keadaan setempat," katanya.
Sementara itu bagi NGHTI, ia adalah indikator khusus yang dibangunkan untuk membantu agensi penguatkuasa dalam mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang di mana indikator tersebut penting bagi memastikan semua mangsa pemerdagangan orang dapat dikenalpasti dan dapat diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan yang telah diishtiharkan oleh kerajaan.
Selain itu Hamzah berkata, NGHTI dibangunkan berdasarkan keperluan dan obligasi di bawah Artikel 14, Konvensyen ASEAN mengenai Pemerdagangan Orang iaitu ASEAN Convention on Trafficking in Persons, especially Women and Children (ACTIP) iaitu bagi mewujudkan garis panduan nasional dalam pengenalpastian mangsa serta di mana bersesuaian, boleh bekerjasama dengan pihak badan bukan kerajaan yang relevan.
"Selain itu, kerajaan melalui agensi penguatkuasa seperti PDRM, JIM, JTK, Kastam dan APMM telah meningkatkan operasi penguatkuasaan serta pendakwaan terhadap pesalah yang terlibat dalam jenayah ini. Kejayaan usaha ini dapat dilihat daripada laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2016-2020," katanya
ORANG AWAM DIGALAK BUAT LAPORAN MENGENAI JENAYAH PEMERDAGANGAN ORANG
Di samping salah faham mengenai isu pemerdagangan yang sebenarnya bukan sahaja melibatkan migran tetapi juga warga tempatan, ada juga ramai yang berasa takut untuk membuat sebarang laporan mengenai kes pemerdagangan orang.
Mengulas perkara ini, Hamzah berkata orang ramai mahupun mangsa pemerdagangan orang tidak perlu risau atau takut untuk melaporkan sebarang aktiviti pemerdagangan orang yang berlaku di kawasan sekitar mereka kerana semua maklumat yang diberikan akan dirahsiakan dan tidak akan dimaklumkan kepada umum.
Beliau menegaskan, semua maklumat yang diterima hanya akan digunakan untuk membantu pihak agensi penguatkuasaan membuat siasatan.
Orang ramai boleh berhubung atau melaporkan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang berlaku di kawasan sekitar mereka melalui saluran yang ada iaitu melalui panggilan Hotline 03-8000 8000 atau boleh terus emailkan kepada mapo_tip@moha.gov.my.
Mereka juga boleh membuat laporan melalui aplikasi chatbot MAPO yang terdapat di laman sesawang http://mapo.bernama.com.
"Kesemua aduan yang diterima akan terus diambil tindakan oleh pihak agensi penguatkuasaan. Pihak MAPO ingin mengambil kesempatan ini menggesa orang awam untuk bersama-sama dengan kerajaan membendung jenayah ini dari terus berleluasa di negara kita. Sekiranya semua pihak dapat bekerjasama, tidak mustahil jenayah permerdagangan orang dan penyeludupan migran dapat dibanteras dari terus berleluasa di negara kita.
"Jika ini dapat dilakukan, natijahnya, kita akan bersama-sama dapat menjadikan negara kita lebih maju, aman dan selamat. Di samping itu kita juga akan dapat membantu mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang Bersatu, Makmur dan Bermaruah di mata dunia," katanya.
RUANGAN SISI
Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran atau MAPO yang merupakan satu badan khusus ditubuhkan dan diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri pada 2007 bagi merumuskan dan memantau aktiviti membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.
Justeru Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia atau World Day Against Trafficking in Persons yang disambut pada setiap 30 Julai merupakan peluang kepada semua pihak untuk lebih memahami mengenai jenayah ini disamping menunjukkan komitmen dalam membanteras jenayah yang kompleks dan terkutuk ini.
Pemerdagangan orang selalunya dikaitkan dengan aktiviti modern-day slavery, di mana ia merampas kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta-juta orang di dunia ini. Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia mula disambut di Malaysia pada 2017 bagi meningkatkan kesedaran dikalangan rakyat Malaysia mengenai jenayah terbabit.
Dalam usaha memperkasakan struktur dan jawatankuasa sedia ada, MAPO akan terus mengambil inisiatif antaranya mengundang beberapa pakar bidang tertentu untuk membantu menambahbaik penarafan Malaysia dari semasa ke semasa.
Menerusi mesyuarat agensi itu bagi kali kedua tahun ini yang berlangsung pada 22 Julai lalu secara talian yang disertai lebih kurang 70 orang wakil kementerian dan agensi anggota MAPO serta organisasi lain serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, bagi merangka strategi penambahbaikan susulan dari Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) Mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2021.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kerjasama yang terjalin dengan pelbagai organisasi lain seperti NGO, pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, ahli akademik serta individu yang aktif dalam isu ini akan terus diperkukuh bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation, tanpa kompromi dengan mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, selain itu, MAPO juga menyediakan Laporan Negara mengenai Pemerdagangan Orang yang bertujuan untuk menerangkan inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.
Laporan tersebut merupakan satu dokumen umum yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang MAPO (http://mapo.bernama.com/).
-- BERNAMA