MAPIM seru pertubuhan antarabangsa perkukuh perlindungan untuk wartawan
Bernama
Mei 3, 2024 23:24 MYT
Mei 3, 2024 23:24 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru pertubuhan antarabangsa dan kerajaan memperkuat perlindungan untuk wartawan memandangkan mereka turut menjalankan peranan penting dalam mengekalkan masyarakat demokrasi.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata wartawan di zon perang perlu dilindungi dan dilayan sebagai orang awam sebagaimana termaktub dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perkara 79 Protokol Tambahan I Konvensyen Geneva.
"Sehingga 1 Mei, dunia menyaksikan statistik menyedihkan mengenai realiti dilalui mereka yang berani demi mencari kebenaran apabila 97 wartawan dan pekerja media disahkan terbunuh, 16 wartawan cedera, empat yang lain dilaporkan hilang dan 25 lagi wartawan ditangkap oleh tentera Israel.
"MAPIM berkabung untuk mereka yang berjiwa berani ini dan berdiri teguh dengan wartawan di seluruh dunia yang sering kali bertarung nyawa untuk menerangi sudut gelap realiti kita. Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia," katanya dalam satu kenyataan bersempena Hari Kebebasan Media Sedunia.
Mohd Azmi berkata ratusan wartawan menjadi sasaran dan kebanyakan mereka berakhir dengan tragis, MAPIM menyeru usaha antarabangsa yang lebih tegas untuk membawa penyerang ke muka pengadilan, termasuk kematian wartawan Palestin-Amerika Shireen Abu Akleh pada 11 Mei 2022, ketika membuat liputan serbuan di kem pelarian Jenin.
Beliau berkata majlis itu menuntut pihak antarabangsa mengambil tindakan tegas untuk membawa pelaku ke muka pengadilan dan sikap berdiam diri serta hanya berpeluk tubuh dalam kes-kes itu merupakan satu bentuk persekongkolan.
MAPIM turut menyeru media di seluruh dunia untuk menolak daya tarikan sensasi dan belenggu golongan berkepentingan serta komited kepada kewartawanan yang tidak berat sebelah serta berani memperjuangkan dan mempertahankan mereka yang telah terkorban.
"Tugas seorang wartawan adalah suci, mereka penjaga kebenaran di dunia yang penuh dengan penipuan. Hari Kebebasan Media Sedunia ini bukan sahaja sekadar untuk memperingati tentang kebebasan yang kita hargai, tetapi menjadi seruan yang jelas untuk mempertahankan kebebasan itu dalam apa jua cara.
"Tatkala kebebasan akhbar diancam, dunia bersatu bagi melindunginya daripada kejahatan dan memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Untuk setiap kebenaran yang tidak diceritakan, bagi setiap suara yang didiamkan, marilah kita menjadi pembawa kebenaran dan pembela akhbar bebas serta jujur," katanya.
Hari Kebebasan Media Sedunia disambut pada 3 Mei setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebebasan akhbar serta mengingatkan kerajaan tentang kewajipan mereka menegakkan dan menghormati hak kebebasan bersuara.
-- BERNAMA