MAPIM sasar lancar 'Food Flotila to Myanmar' 7 Januari depan
Israr Khalid
November 26, 2016 17:30 MYT
November 26, 2016 17:30 MYT
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merancang untuk melancarkan misi bantuan kemanusiaan untuk umat Islam Rohingya di Myanmar pada 7 Januari tahun depan.
Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid yakin misi kali ini dengan nama 'Food Flotila to Myanmar' mampu dilaksanakan selepas rancangan pada 2012 gagal berikutan tidak mempunyai kapal bagi misi itu.
Kata Mohd Azmi, keyakinan itu berlandaskan 'isyarat' yang diterima pihaknya daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memperakui rancangan tersebut, selain kenyataan komitmen daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta kepimpinan banyak negara yang telah dihubunginya.
"Sekarang ini Mapim sedang membuat rangkaian di peringkat ASEAN, menarik NGO-NGO yang mahu fokus terhadap isu ini antaranya daripada Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina.
"Ini sebagai satu simbolik kerana untuk mendapatkan kapal yang besar mungkin agak sukar, tetapi sekurang-kurangnya kita mahu pecahkan sekatan ini supaya apabila mereka (kerajaan Myanmar) boleh beri laluan, saya harap lebih banyak lagi bantuan dapat dihantar," katanya selepas forum awam bertajuk 'Tangisan Rohingya: Tiada Siapa Yang Peduli?' di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Selain bantuan makanan, turut dirancang untuk disertakan dalam misi tersebut adalah perubatan juga khemah-khemah untuk warga Rohingya yang kehilangan tempat tinggal dapat berlindung teduh ketika dalam pelarian di negara mereka.
Ketika ini kata Mohd Azmi, projek tersebut sedang dalam perincian termasuk butiran peserta di atas kapal, dan bentuk serta kuantiti bantuan yang akan dihantar ke sana.
Selain Mohd Azmi, forum anjuran Pusat Dialog Peradaban UM itu turut menampilkan Timbalan Presiden Persatuan Rohingya Malaysia (RSM), Abd Ghani Abd Rahman dan pengarang kanan Astro Awani, Azlinariah Abdullah sebagai panel.
Kekejaman di wilayah Rakhine kembali kemuncak sejak dua minggu lalu, apabila dilaporkan lebih 1,000 penempatan masyarakat Islam Rohingya dibakar, serangan udara dengan helikopter dilancarkan terhadap perkampungan mereka dan manusia termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh secara sesuka hati.
Ia sekaligus 'membuka kembali mata' masyarakat dunia terhadap apa yang berlaku di Myanmar sejak sekian lama tanpa sebarang sinar untuk pembersihan etnik itu mereda, apatah lagi dihentikan sama sekali.
Setiap kali usaha membawa Myanmar untuk berunding hal tersebut pasti akan membawa kegagalan apabila mereka tidak mahu bersuara malah bertindak keluar dewan dan menarik diri tatkala perkataan 'Rohingya' disebut, sepertimana yang berlaku dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dipengerusikan Malaysia tempoh hari.
Mereka seolah-olah menafikan bahawa konflik agama, penindasan kaum serta pembunuhan kejam berlaku di negara mereka, lalu menolak untuk berbicara hal tersebut.
"Apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam Rohingya di Myanmar adalah jauh lebih teruk daripada penderitaan rakyat Palestin dan Syria. Di Palestin dan Syria, sekurang-kurangnya wujud penentangan daripada pihak tertindas.
"Tetapi masyarakat Rohingya diperlakukan lebih hina daripada binatang, langsung tiada hak atas apa-apa pun di tanah air mereka. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa," jelasnya.
Disebabkan itu, Mohd Azmi menggesa tekanan hebat harus terus-menerus diberikan kepada kerajaan Myanmar untuk memberhentikan tindakan mereka yang dilihat menjurus kepada 'genocide', atau apa yang disifatkan Mohd Azmi sebagai 'Eastern Holocaust'.
"Mahu tidak mahu soal kemanusiaan ini perlu ditangani walaupun kita seperti sudah kehabisan pilihan. Ini tanggungjawab kita.
"Kita tidak boleh berhenti mengasak, mesti tekan sungguh-sungguh kerajaan Myanmar bahawa mereka akan akhirnya dipencilkan dunia sekiranya terus begitu," tegasnya.
Desakan kembali rancak apabila ribuan masyarakat Rohingya dan rakyat Malaysia mengadakan tunjuk perasaan pada Jumaat, berarak sambil berteriak serta membawa sepanduk membawa mesej anti-Myanmar dari Jalan Ampang ke Kedutaan Myanmar di Jalan U-Thant di ibu kota sebelum menyerahkan memorandum bantahan.
Selain di Kuala Lumpur, Pulau Pinang turut tidak terkecuali selepas beratus-ratus orang memenuhi jalan di George Town, malah Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang juga sebulat suara meluluskan usul mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas masyarakat Rohingya.
Malah beberapa negara lain di dunia turut bersama dalam hal ini apabila demonstrasi turut diadakan di Bangkok, Jakarta, Dhaka serta London.
Jelas Mohd Azmi, usaha itu turut bertujuan mendorong PBB serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak.
Ini kerana menurut beliau, didapati ada resolusi yang dibuat kedua-dua badan tersebut berhubung isu Rohingya di Myanmar, tetapi sekadar tinggal atas kertas.
"Apa yang kita buat sekarang adalah mendesak mereka untuk mengangkat semula resolusi tersebut dan minta ia dilaksanakan segera.
"Resolusi itu antaranya menggariskan soal menghantar tentera pengaman supaya setidak-tidaknya mereka (etnik Rohingya) dapat dilindungi," ujarnya.
Tambah Mohd Azmi lagi, rangkaian NGO dunia yang sedang berhimpun untuk memperjuangkan nasib Rohingya yang dilihat semakin banyak mampu mendorong usaha desakan hingga ke peringkat mempertimbangkan semula sekatan ekonomi yang dulu pernah dikenakan ke atas Myanmar.
Selain itu, beliau turut melantunkan gesaan orang ramai supaya Hadiah Nobel Keamanan yang dianugerahkan kepada ikon demokrasi dan kaunselor kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi ditarik balik.
#Aung San Suu Kyi
#Food Flotila to Myanmar
#MAPIM
#Rohingya
#Tangisan Rohingya: Tiada Siapa Yang Peduli?