Mapim sambut baik keputusan Agong, Raja-Raja Melayu
Faris Danial Razi
Jun 16, 2021 23:56 MYT
Jun 16, 2021 23:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin disambut baik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menjelaskan, ia juga adalah satu permintaan rakyat yang telah sekian lama disuarakan.
“Ini adalah permintaan rakyat yang sudah banyak kali disuarakan melihat kepada kepada keadaan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat dan kesan ekonomi yang sangat meruncing.
“Pihak kerajaan wajar mengambil perhatian keputusan yang telah diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada petang Rabu.
“Parlimen adalah ruang terbaik untuk semua wakil rakyat berbahas bagi mencari jalan menangani wabak ini dengan lebih berkesan.
“Pandangan serta kritikan daripada semua wakil rakyat diperlukan dalam keadaan yang semakin meruncing,” kata Mohd Azmi dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, Ordinan Darurat yang menggantung sidang Parlimen dan DUN tidak memberi kesan baik kepada cara pandemik COVID-19 ditangani.
“Pihak kerajaan tidak boleh hanya membuat keputusan sendiri tanpa semak dan imbang terutama dalam soal peruntukan kewangan untuk isu pandemik yang sudah berlarutan lebih setahun,” tambah beliau.
Pada masa sama, katanya Mapim berpendirian sidang Parlimen harus menumpu kepada membincang strategi terperinci mengawal pandemik COVID-19 untuk memulihkan negara.
Katanya, Mapim turut menyambut baik keputusan Raja- Raja Melayu yang meminta karenah birokrasi vaksinasi diatasi segera.
“Pelan berfasa vaksinasi negara yang banyak dirunguti orang ramai perlu dilihat semula kerana ini bukan hanya soal vaksin yang lambat diterima kerana diterima secara berperingkat, tetapi ia adalah soal kaedah memberi vaksin itu sendiri sangat birokratik.
“Sepatutnya vaksinasi ini sudah mencapai kadar yang diperlukan untuk ketahanan kelompok dicapai,” dakwanya.
#Yang di-Pertuan Agong
#Islam
#Parlimen
#ekonomi
#Melayu
#undang-undang
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#vaksin