MAPIM jalin kerjasama dengan NGO luar negara bantu Palestin
Bernama
Februari 15, 2024 23:44 MYT
Februari 15, 2024 23:44 MYT
KOTA BHARU: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dari 50 negara menerusi Pelan Bangun Semula Gaza Pascaperang.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pelan berkenaan merangkumi lima sektor pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan, infrastruktur awam dan keperluan asas.
"Kita akan mengadakan perbincangan lanjut kerana rancangan ini sudah pasti menelan kos yang tinggi termasuklah proses pembersihan kerana kawasan yang musnah sahaja mungkin kosnya menelan hingga US$100 juta (kira-kira RM478.2 juta)
"Pelan pembangunan ini akan dilakukan secara kluster dan kos mencecah hingga US$50 bilion (kira-kira RM239.1 bilion)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata proses awal pelan pembangunan itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tujuh tahun dengan kos US$500 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dan diharapkan peperangan yang berlaku ketika ini dapat ditamatkan dalam tempoh tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azmi berkata MAPIM juga akan menganjurkan Perhimpunan Mega Bersama Palestin pada 2 Mac depan.
"Tema program ini ialah 'Hentikan Genocide' dan diharap seluruh rakyat Malaysia dapat menyertainya dengan berpakaian putih, merah, hijau dan hitam.
"Kita akan berarak dari Kedutaan Amerika Syarikat dan berakhir di Padang Merbok, Kuala Lumpur untuk mendengar ucapan daripada beberapa pemimpin tempatan dan akan disertai oleh wakil-wakil," katanya.
Pada Isnin lepas, MAPIM menerima sumbangan berjumlah RM30 juta termasuk lima ambulans bagi pembangunan semula Gaza daripada 17 penyumbang termasuk dari luar negara seperti Thailand, Turkiye, Singapura dan India.
-- BERNAMA