Mapim hantar bantuan kepada 700 keluarga terjejas di Pulau Redang, Perhentian
Hasimi Muhamad
Julai 8, 2021 11:44 MYT
Julai 8, 2021 11:44 MYT
PUTRAJAYA: Prihatin dengan nasib golongan yang terjejas, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggerakkan bantuan bernilai RM250,000 bagi membantu hampir 700 keluarga di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu.
Ketua Aktivis Kemanusiaannya, Ahmad Sani Araby Alkahery berkata bantuan melebihi 12 tan itu digerakkan melalui Misi Bantuan Ihsan: Panggilan Pulau ke Pulau dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.
Jelas beliau, bantuan tersebut masing-masing melibatkan 500 set lampin bayi dan set susu serta bantuan asas lain.
"Insya-Allah masyarakat di kedua-dua pulau itu akan dibantu dan ini bukannya kali pertama kerjasama antara pihak kementerian, Mapim dan APM.
"Cuma beza kali ini ialah kita masuk ke pulau dan sudah pasti ada banyak prosedur operasi standard (SOP) yang kita perlu ikuti.
"Biarpun Mapim adalah anggota bersekutu APM tetapi kita telahpun mewajibkan untuk semua anggota termasuk pengendali kenderaan menjalankan 'swab test' secara berkala sebelum pergi, semasa berada di pulau, sebelum memasuki pulau dan sebelum balik," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Bantuan Ihsan Mapim ke pulau berkenaan, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Mengulas lanjut, Ahmad Sani berkata Mapim sedang melipatgandakan usaha untuk mengenal pasti golongan yang terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan tahun lalu.
Katanya, setakat ini sebanyak 250,118 keluarga telah menerima bantuan termasuk kotak makanan, khidmat van ambulance percuma, kaunseling serta bantuan menyelesaikan sewaan rumah yang tertunggak.
Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 15 hingga 20 peratus adalah golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan T20 yang kehilangan pekerjaan.
"Kalau sebelum ini pangkalan data asnaf kita ada tetapi yang sukar adalah untuk mengenali (individu) daripada laporan yang di luar kebiasaan.
"Contohnya, kita pergi rumah rumah dia nampak seperti ada kereta dan sebagainya, tetapi rupanya dia adalah kumpulan T20 dan M40 yang telah gulung tikar dari sudut perniagaan, pramugara yang hilang kerja, dan ini perlukan kerja tambahan untuk pasukan lapangan Mapim menilai dan bertanyakan kepada jiran-jiran," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya telah mengaktifkan talian hotline 24 jam, selain menggerakkan Mapim Rangers bagi membuat penghantaran barangan kepada golongan terjejas, setiap hari.
#MAPIM
#Bantuan Pulau Redang
#Bantuan Pulau Perhentian
#Pulau Redang terputus bekalan
#Misi Bantuan Ihsan Panggilan Pulau ke Pulau
#M40 terjejas
#T20 terjejas
#Ahmad Sani Araby Alkahery