MAPIM akan serah memorandum kepada PM tangani pelarian ikut perspektif Islam
Bernama
Julai 1, 2020 05:23 MYT
Julai 1, 2020 05:23 MYT
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggesa kerajaan menangani isu pelarian dan pencari suaka di Malaysia, mengikut pendekatan Islam.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata memorandum itu akan diserahkan kepada perdana menteri, Isnin ini.
"Antara kandungan memorandum ini adalah bagaimana Malaysia sebagai negara Islam perlu menguruskan mana-mana pelarian yang datang ke negara ini dengan berpandukan ajaran Al-Quran.
"Kami juga mendesak pihak berkuasa tidak membiarkan gejala menyebarkan kebencian dan menganiaya komuniti pelarian di luar nafas undang-undang negara," katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, agensi berkaitan juga perlu mengeluarkan arahan yang melarang perbuatan menzalimi pelarian sebaliknya membela serta mendapatkan hak mereka sebagai kewajipan bagi seorang Muslim di negara ini.
Mohd Azmi berkata, MAPIM turut berpendirian agar kerajaan mengadakan dialog dengan golongan agama bagi mencari pendekatan terbaik dalam mengatasi isu pelarian di negara ini.
"Walaupun Malaysia tidak menandatangi konvensyen mengenai pelarian 1951, namun sebagai negara Islam, obligasi berkaitan dengan persaudaraan Islam tetap mengikut kebertanggungjawaban negara untuk membantu dan membela mereka yang ditindas.
"Kerangka dasar, formula dan kerjasama antarabangsa perlu digerakkan segera bagi mencari penyelesaian mengenai isu ini," katanya.
-- BERNAMA
#Al-Quran
#dialog
#golongan agama
#Islam
#kebencian
#MAPIM
#memorandum
#menzalimi
#Mohd Azmi Abdul Hamid
#pelarian
#Pencari Suaka
#Perdana Menteri
#persaudaraan
#undang-undang