MAPIM ajak masjid di ASEAN kibar bendera Palestin
Ridauddin Daud
November 22, 2021 18:16 MYT
November 22, 2021 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru lebih satu juta masjid di seluruh ASEAN mengibarkan bendera Palestin sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin pada 29 November ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kibaran bendera sebagai tanda ingatan dan solidariti terhadap rakyat negara itu yang masih belum mendapat hak mereka yang sepatutnya.
Tambahnya, MAPIM juga menggesa Malaysia meraikan hari tersebut dengan acara khas untuk menyeru rakyat dan pemimpin dunia bersama-sama dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menentang penjajahan Israel.
“Kami menyeru semua imam yang memimpin masjid di rantau ASEAN untuk menterjemahkan solidariti mereka dengan mengibarkan bendera Palestin di hadapan setiap masjid sebagai simbol perpaduan dengan Palestin.
“Kami juga menggesa agar khutbah Jumaat khas di semua masjid di Asean dibacakan untuk mendidik dan menyedarkan setiap umat Islam tentang tanggungjawab mereka untuk menyokong pembebasan Palestin, khususnya Baitul Maqdis dan masjid Al Aqsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tegasnya, umat Islam juga perlu terus mengingatkan pemimpin dunia berkaitan nasib lebih lapan juta penduduk Palestin yang masih ditekan Israel sejak perang enam hari pada tahun 1967.
“Tarikh ini adalah hari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar mesej bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan sah yang disokong sepenuhnya majoriti negara di seluruh dunia.
“Kami mengulangi pendirian kami bahawa perjuangan Palestin untuk menuntut semula tanah dan hak mereka adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa dan masyarakat dunia mesti bersedia untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin.
“Hak dan kedaulatan untuk rakyat Palestin menuntut semula tanah mereka mesti disokong oleh kommuniti antarabangsa jika mahukan hari solidariti itu menjadi lebih bermakna,” kata beliau lagi.
Jelasnya, sokongan tidak boleh sekadar ungkapan moral tetapi melalui tuntutan undang-undang mendesak pendudukan Israel mesti ditamatkan.