Manusia punca hidupan liar pupus, bukan minyak sawit - KPPK
Bernama
Ogos 19, 2022 17:15 MYT
Ogos 19, 2022 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Aktiviti pemburuan menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan jumlah orang utan di Borneo sejak 200 tahun lepas, iaitu jauh sebelum bermulanya pembangunan minyak sawit sekitar 1970-an, menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).
Sempena Hari Orang Utan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun, KPPK berharap dapat menyangkal dakwaan bahawa minyak sawit menjadi ancaman terbesar kepada haiwan liar itu, sehingga sesetengah pihak menyifatkan komoditi berkenaan sebagai pembunuh orang utan.
Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata berselindung di sebalik kempen menyelamatkan orang utan, sebilangan mereka telah menyebarkan kenyataan provokatif termasuk mengatakan "kawasan hutan hujan seluas saiz 300 padang bola ditebang setiap sejam bagi memberi laluan kepada pengeluaran minyak sawit," selain " 27 orang utan mati setiap hari" dan "orang hutan akan pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun."
"Walaupun memang benar orang utan di Borneo menjadi spesies yang diancam kepupusan, namun banyak lagi spesies haiwan lain juga diancam kepupusan disebabkan pertambahan populasi manusia di muka bumi," katanya dalam kenyataan.
Memetik satu kajian, Zuraida berkata berdasarkan kepada Statista, perubahan dalam penggunaan kawasan darat dan laut di Asia Pasifik hanya meliputi 43 peratus daripada faktor yang mengancam populasi hidupan liar, manakala lebih 50 peratus lagi adalah disebabkan eksploitasi berlebihan, spesies invasif dan penyakit, selain pemburuan, pencemaran serta perubahan iklim.
"Dalam kajian dijalankan oleh Statista, bukan sahaja orang utan malah semua hidupan liar di seluruh dunia terancam. Ia tidak terhad kepada spesies monyet atau haiwan lain yang mempunyai habitat di Borneo sahaja, tetapi seluruh Amerika Utara, Eropah, Asia Tengah, Amerika Latin, Caribbean dan Afrika," katanya.
Menurut Zuraida Malaysia telah memperuntukkan 43 kilometer persegi tanah dilindungi di pinggir Hutan Simpan Kabili Sepilok di Sabah sebagai tapak pemulihan untuk orang utan.
"Ketika ini kira-kira 60 hingga 80 orang utan hidup bebas di hutan simpanan itu, manakala hampir 25 orang hutan di tempatkan di pusat jagaan," katanya.
Menurutnya KPPK menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia telah mewujudkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) sebagai platform mampan yang dibiayai oleh industri minyak sawit melalui kutipan cukai, sebagai mencerminkan komitmen industri ke arah memastikan pemain minyak sawit dan pekebun kecil kekal dengan amalan mampan.
"Dalam hal ini, MPOGCF bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk membantu usaha menyelamat dan memulihara hidupan liar.
"Ini termasuk mewujudkan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah yang dibentuk oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kolaborasi MPOFCF dengan tugas utamanya menyelamatkan dan memindahkan haiwan liar yang terancam termasuk orang hutan," katanya.
-- BERNAMA
#manusia
#hidupan liar
#pupus
#KPPK
#minyak sawit
#Orang Utan
#Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#Zuraida Kamaruddin