Manusia mati tinggalkan jasa, haiwan mati tinggalkan rangka - Nota akhir mangsa lemas
Bernama
Oktober 4, 2018 17:47 MYT
Oktober 4, 2018 17:47 MYT
Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari, anggota bomba yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi, seakan sudah mengetahui beliau akan meninggalkan keluarga tersayang buat selama-lamanya.
Allahyarham telah memuatkan status di aplikasi WhatsApp dengan ayat "Manusia Mati Meninggalkan Jasa, Haiwan Mati Meninggalkan Rangka", kata sepupunya Mohd Hafrawi Fauzi, 22, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Terap di sini, hari ini.
Menurut Mohd Hafrawi status yang diletakkan oleh Muhammad Hifdzul, 25, itu agak pelik walaupun tidak ramai yang menyedarinya termasuk saudara mara yang lain malah hanya disedari malam tadi.
Katanya Allahyarham memang seorang yang periang dan mesra dengan anggota keluarga dan sepupu-sepupunya yang lain kerana rapat sejak dari kecil.
Mohd Hafrawi berkata Allahyarham memang seorang anak yang baik dan berbakti kepada keluarga malah akan pulang ke kampung halaman setiap kali diberikan pelepasan.
"Kali terakhir Allahyarham balik ke kampung adalah pada Ahad lalu kerana mahu menjenguk ayah tirinya, Tengku Din Tengku Lega, 74, dan ibunya, Wan Kamilah Wan Yaakub, 53, yang sakit.
"Apa yang saya tahu Allahyarham memang meminati karier sebagai pegawai bomba dan sanggup mengetepikan peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) kerana menyahut panggilan selepas diterima menyertai pasukan berkenaan," katanya.
Jenazah Allahyarham yang sudah lima tahun menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Terap di sini, kira-kira pukul 6 petang ini.
Dua kakak Muhammad Hifdzul, Nur Ehfazna, 29, dan Nur Atiqah, 28, kini sedang mengiringi jenazah Allahyarham dari Hospital Serdang, Selangor ke sini.
Selain Allahyarham, lima lagi anggota bomba yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Izatul Akma Wan Ibrahim, 32.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam tadi, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, mencari seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.
Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan mereka lemas.
-- BERNAMA
#anggota bomba
#bomba lemas
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#lemas
#Manusia Mati Meninggalkan Jasa
#Mohd Hafrawi
#Muhammad Hifdzul
#Taman Putra Perdana