Mantapkan penguasaan Bahasa Inggeris mudahkan permohonan dana kerajaan

Hilal Azmi
Jun 18, 2018 17:03 MYT
Vivy dan Neelofa menghadiri Mesyurat MPK di Menara Ilham pada Isnin. - Foto Astro AWANI/HILAL AZMI
Penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan usahawan tempatan perlu diberi perhatian bagi meningkatkan pelaburan untuk Malaysia.
Pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet (FV), Vivy Yusof berkata bakat usahawan Malaysia sudah cukup baik namun penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan selaras dengan keperluan pasaran global.
"Sebagai usahawan e-dagang, kami memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan dan pada masa sama mahukan lebih ramai pakar dalam teknologi untuk menghadapi cabaran masa ini.
"Pada masa sama, usahawan juga perlu bersedia untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan orang lain," kata Vivy.
Kemahiran terbabit mampu memacu sektor e-dagang tempatan seterusnya membantu mereka untuk bersaing di peringkat global, tambahnya.
Selain itu, Pengasas Naelofar Hijab, Noor Neelofa Mohd. Noor menyarankan agar kerajaan memudahkan permohonan dana dan geran, selaraskan agensi perniagaan dan mengekang produk tiruan bagi membantu peniaga terutamanya Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
Katanya, kekangan itu dihadapi usahawan seperti beliau hanya disebabkan banyak agensi yang mempunyai pertindihan fungsi.
Menurut Neelofa, antara yang pernah dikongsikan dengan usahawan-usahawan baharu tentang bagaimana untuk memohon sijil pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Halal sebagai contoh bagi penyelarasan yang lebih jelas.
"Peletakan di bawah satu bumbung untuk agensi seperti Teraju, MARA, SME Corp boleh membantu memberi hala tuju agar mereka tahu apa yang perlu dibuat.
"Ini adalah untuk penstrukturan semula (agensi) supaya ada saluran yang jelas. Sebab apa yang mereka ada 20 tahun lalu, sangat rumit, contohnya susah nak dapatkan dana. Semuanya, bila kita tahu bila mengenai duit kena ada banyak maklumat dan dokumen.
"Tetapi saya sangat hargai jika mereka hadkan prosedur yang tidak perlu supaya kita boleh dapatkan loan dan geran sepatutnya dengan cara yang lebih senang," katanya kepada wartawan selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Tun Daim Zainuddin pada Isnin.
Beliau turut berharap ada satu mekanisme baru untuk membantu usahawan mengekang produk tiruan sepertinya terjadi pada perniagaannya.
Meskipun pernah bekerjasama dengan kementerian berkaitan sebelum ini namun kos untuk operasinya amat tinggi.
"Saya banyak kongsikan daripada perspektif bisnes saya dan masalah dalaman yang kita hadapi dengan Naelofar Hijab. Kita pernah bekerjasama dengan KPDNKK dan Kastam tapi ia kosnya sangat tinggi untuk kita sambung untuk selesaikan masalah," kata Neelofa, sambil mengambil contoh masalah produk tiruan yang didepani Naelofar Hijab.
"Saya cadangan pada majlis penasihat mungkin bila kita buat laporan mereka bekerjasama dengan SKMM untuk terus tutup akaun palsu untuk orang yang menjual barang tiruan," katanya lagi.
Neelofa mempunyai ribuan agen dalam dan luar negara serta dilaporkan bakal meraih jualan sebanyak RM200 juta tahun ini.
Neelofa Mohd Noor, 29 tahun, kini mempunyai hampir 700 pengedar sah dalam negara dan mempunyai tiga butik utama yang mempunyai lebih 80 pekerja termasuk lima pereka fesyen.
Pengedar Naelofar Hijab juga membina pangkalan di luar negara seperti Singapura dan Brunei.
#Asia #Brunei #Halal #kastam #kerajaan #KKM #KPDNKK #Malaysia #MARA #Neelofa #pelaburan #peniaga #Singapura #SKMM #usahawan #Vivy Yusof
;