Mantan TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia
Syafik Shukri Jalil
Januari 28, 2022 01:15 MYT
Januari 28, 2022 01:15 MYT
KUCHING: Mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada Jumaat.
Allahyarham Salahuddin, 100, disahkan meninggal dunia pada 11.42 malam.
“Ya, benar.. Tun (Salahuddin) sudah tiada,” kata ahli keluarga terdekat ketika dihubungi Astro AWANI.
Bagaimanapun punca kematian tidak dinyatakan secara spesifik.
Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada Sabtu.
Allahyarham dilahirkan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu.
Allahyarham Salahuddin dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak dua kali pada April 1977-1981 selaku ketua negeri ketiga dan kembali menggalas tanggungjawab itu pada 22 Februari 2001 sehingga 28 Februari 2014 (keenam).
Sebelum ini isteri Allahyarham, Toh Puan Hajah Norkiah Bagong dilaporkan meninggal dunia pada 14 April 2021 di Hospital Umum Sarawak kerana komplikasi, selepas mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.
Manakala isteri pertamanya, Allahyarham Dayang Umi Khalthum juga telah meninggal dunia.
Allahyarham Salahuddin mempunyai 12 orang anak.
#mantan TYT Sarawak
#Mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak
#Tun Salahuddin
#Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng
#meninggal dunia