Mantai perdana akan diadakan setiap bulan - Mohamad

Bernama
Februari 1, 2018 04:17 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah hari ini. - Foto Bernama
Program mantai perdana yang sebelum ini menjadi acara tahunan, akan diadakan setiap bulan di tujuh daerah di negeri ini dalam usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup masyarakat.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menerusi program itu yang akan diadakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), petani dan penternak boleh memasarkan hasil tanaman serta ternakan mereka secara terus kepada pengguna.
"(Dengan ini) orang ramai dapat membeli barang mentah dengan harga yang jauh lebih murah dari pasaran," katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan bantuan khas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini pada Khamis.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said, barisan Exco kerajaan negeri dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Ramli Ismail.
Untuk menjayakan program tersebut, Mohamad berkata kesemua pegawai daerah telah diarahkan untuk mencari tanah yang sesuai sebagai tapak bagi membina sebuah pasar.
Negeri Sembilan mempunyai tujuh daerah iaitu Jelebu, Jempol, Port Dickson, Rembau, Seremban, Tampin dan Kuala Pilah.
Mantai, acara tradisi masyarakat di negeri ini ialah dialek yang berasal dari perkataan membantai iaitu hari atau malam untuk menyediakan daging sembelihan pada hari sebelum menjelangnya Ramadan dan Syawal setiap tahun.
Sementara itu, menyentuh mengenai peranan JKKK, menteri besar berkata semua anggota jawatankuasa itu perlu terus menjadi mata dan telinga selain berperanan menjelaskan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Pada program itu, Mohamad juga menyaksikan lafaz ikrar bebas rasuah yang diketuai Pengerusi JKKK negeri Zubir Jamal bersama 392 anggota JKKK yang lain.
-- BERNAMA
#keselamatan #Malaysia #Menteri Besar #Mohamad Hasan #Negeri Sembilan #Ramadan #SPRM
;