Mansuh UPSR pada pertengahan tahun tindakan terburu-buru, reaktif - Maszlee
Firdaus Azil
Mei 1, 2021 11:42 MYT
Mei 1, 2021 11:42 MYT
KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada pertengahan tahun adalah sesuatu yang janggal dan menimbulkan kegelisahan kepada ramai pemegang taruh, kata bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik.
Menganggap keputusan itu sebagai terburu-buru dan reaktif, Ahli Parlimen Renggam itu berkata langkah itu dilakukan ketika ibu-bapa dan pengurusan sekolah sudah membuat segala persiapan yang sewajarnya untuk murid-murid menghadapi peperiksaan itu.
Beliau berkata keputusan sebesar itu sewajarnya perlu persiapan rapi untuk jangka masa yang panjang.
“Saya pasti, ada sebahagian guru, ibu bapa dan murid yang amat gembira dan teruja dengan pemansuhan UPSR ini.
“Cuma dalam kegembiraan kita, suka untuk saya ingatkan agar setiap keputusan yang diambil mestilah disandarkan kepada perancangan yang rapi, menyeluruh dan terperinci,” kata Maszlee dalam catatan terbaharu di platform media sosialnya, hari ini.
Pada 28 April lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memuktamadkan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021, sementara Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2021 pula dibatalkan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dalam Sidang Media Khas berkata tiada peperiksaan ganti bagi ujian murid Tahun 6 itu.
Transformasi sistem pendidikan peringkat rendah tanpa UPSR
Mengulas lanjut, Maszlee berkata perancangan untuk menggantikan UPSR dengan sistem pentaksiran yang lebih holistik dan komprehensif bukanlah sesuatu perkara yang baharu.
Ujarnya lagi, mengikut perancangan awal KPM pada tahun 2020 akan menghapuskan peperiksaan setara bagi Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) dahulu, sehinggalah kesemua ekosistem tersedia.
Kemuncak dari perancangan itu, jelasnya lagi, adalah pelaksanaan Model Pendidikan Baharu berdasarkan hasil laporan JKDPN.
Matlamatnya untuk menggantikan pendidikan berasaskan peperiksaan (exam-oriented education) kepada pendidikan berasaskan pembelajaran (learning-oriented education).
“Rasionalnya, pada waktu itu KPM di bawah kepimpinan saya melihat perubahan pada pendidikan mesti dilakukan secara bertahap-tahap di samping perlu berlaku secara holistik dan bukan secara tempelan dan terpancar-pancar.
“Malangnya perubahan kerajaan telah membantutkan segalanya.
"Hasilnya kita dipaksakan dengan sistem pendidikan yang tiada hala tuju dan cacamarba pada waktu ini,” katanya lagi.
#mansuh UPSR
#Dr Radzi Jidin
#Dr Maszlee Malik
#terburu-buru
#reaktif
#Kementerian Pendidikan
#model
#Parlimen
#kerajaan
#pendidikan
#guru
#menteri
#peperiksaan