Mansuh kawal selia industri beras, tingkat daya saing tempatan - IDEAS
Harits Asyraf Hasnan
Februari 26, 2021 08:00 MYT
Februari 26, 2021 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru kerajaan menggunakan tempoh 10 tahun ini untuk melaksanakan beberapa pembaharuan yang diperlukan pesawah negara ini.
Felo Kanan IDEAS, Prof Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata pemansuhan kawal selia import beras akan menggalakkan daya saing, kecekapan dan inovasi dalam pasaran tempatan.
"Tanpa kefahaman dan persediaan yang diperlukan, liberalisasi peranan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang telah berakar umbi dalam sektor ini akan membawa kepada akibat yang tidak disengajakan, seperti pasaran yang tidak berdaya saing dan tidak cekap.
"Kertas laporan ini menyeru kepada sokongan institusi yang lebih hebat untuk meningkatkan kapasiti pesawah dan menjana lebih banyak peluang agroperniagaan agar dapat menuai manfaat penuh sebuah pasaran ekonomi yang dinamik," katanya.
Beliau sebelum itu membentangkan Kertas Polisi IDEAS bertajuk 'Paddy and Rice Sector Policy Roadmap: Towards Equity and Sustainability' pada Khamis.
Fatimah yang juga Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata tindakan secara kolektif diperlukan untuk memudahkan usaha-usaha keusahawanan pesawah.
"Peranan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam meningkatkan produktiviti melalui teknologi dan teknik canggih harus disegerakan.
"Cadangan institusi lain yang dikemukakan oleh kertas laporan ini ialah menubuhkan satu Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) baharu yang merangkumi satu pendekatan sistem dan proses perundingan bersama pemegang taruh untuk memuktamadkan pelbagai dasar dan strategi," katanya.
Justeru, beliau berharap permasalahan yang berlaku berdekad lamanya dalam industri beras diubah kepada sesuatu yang lebih baik dengan memperkenalkan beberapa elemen pemansuhan kawal selia untuk memacu daya saing, pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian.
#industri beras
#ideas
#pertanian
#Fatimah Mohamed Arshad
#ekonomi
#pesawah
#Lembaga Padi dan Beras Negara