Mansuh hukuman mati mandatori: Tinjauan awam akan dibuat
Afiezy Azaman
Jun 13, 2022 14:03 MYT
Jun 13, 2022 14:03 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan tinjauan awam untuk mendapatkan pandangan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tinjauan awam itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum usul pindaan berkait pemansuhan hukuman dibentangkan pada Oktober ini dan sasaran dimansuhkan sepenuhnya mulai Januari tahun depan.
“Ini sama macam kita buat dengan Akta Anti-Lompat Parti yang kita peroleh respon sebanyak lebih 7,600, saya hendak cuba bentangkan pindaan ketika bulan pembentangan Bajet.
“Kita boleh selesaikan persoalan-persoalan pindaan dahulu dan bentangkan apa yang Kabinet dah putuskan pada bulan Oktober nanti di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada bulan Disember.
“Pada Januari, kita sudah mansuhkan undang-undang itu secara realitinya, maknanya dilema berhubung kes di mahkamah dan kes pertuduhan semula dapat diatasi kerana kita tidak mahu kerajaan atau agensi penyiasatan seperti polis dalam dalam keadaan serba-salah,” katanya dalam Sidang Media Khas, di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai tinjauan awam yang bakal diadakan, Wan Junaida menyatakan ia bakal dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
“Siapa yang berminat boleh respon melalui sosial media, kita mahu mendengar input daripada rakyat. Satu daripada orang yang menjadi pemangsa dan satu lagi mangsa serta keluarga mereka,” jelasnya,” katanya.